JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pengerusi NGO didakwa salah guna wang derma RM207,000

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan salah guna wang berjumlah RM207,000 milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada Disember 2019.

Tertuduh, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hakim didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang milik pertubuhan itu yang merupakan derma bagi misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 27 Disember 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri menawarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Melaka, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam bela, Azizul Shariman Mat Yusoff memohon ikat jamin lebih rendah iaitu RM10,000 dengan alasan anak guamnya menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah selain ibu bapa yang menghidap penyakit kronik.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan mengekalkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai modus operandi sebuah NGO yang didakwa mengutip sumbangan orang ramai termasuk lebihan dana projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria yang kemudiannya disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Siasatan mendapati sumbangan orang ramai itu dipindahkan ke akaun peribadi dan digunakan untuk membeli barang kemas, kenderaan, tanah, rumah serta mata wang kripto dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM26 juta.

Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO berkenaan dalam Op Serantau yang dijalankan oleh SPRM Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button