Bekas pemain kebangsaan pertahan regu negara, anggap keletihan punca tewas kepada Myanmar
KUALA LUMPUR – Bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Suhairi Sulaiman tampil memberikan kata-kata semangat kepada skuad regu negara selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 susulan kekalahan kepada Myanmar pada aksi separuh akhir, hari ini.

Suhairi berkata, faktor keletihan serta jadual padat memberi kesan terhadap prestasi pemain negara dalam aksi penting tersebut.
Menurutnya, pemain dilihat keletihan selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Kebangsaan sebelum turun beraksi beberapa jam kemudian.
“Saya tahu kamu semua penat. Sebelah pagi hadir ke Majlis Anugerah Sukan Kebangsaan, tentu pemain terkejar-kejar untuk pulang berehat.
“Nampak seperti tiada masalah, namun untuk aksi berprestasi tinggi, pemain perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan tanpa gangguan lain,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut mengakui Myanmar tampil lebih bersedia dan bertenaga sepanjang aksi separuh akhir itu.
“Tengah hari pula perlu turun menentang lawan. Sudah tentu fokus sedikit terganggu untuk perlawanan penting seperti ini.
“Jelas kelihatan pasukan lawan lebih bersedia dan lebih bertenaga hari ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Suhairi tetap memuji semangat juang pemain negara dan berharap skuad kebangsaan segera bangkit bagi menghadapi acara berpasukan selepas ini.
“Tidak mengapa, kamu semua sudah memberikan yang terbaik. Selepas ini fokus untuk acara berpasukan pula,” katanya lagi.
Skuad regu negara sebelum itu tewas 9-15, 10-15 kepada Myanmar sekali gus gagal mempertahankan gelaran juara yang dimenangi tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








