KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan kesediaan untuk disiasat oleh jawatankuasa bebas berhubung laporan yang mendakwa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Menurut beliau, sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguat kuasa, mana-mana individu yang berdepan dakwaan wajar bersikap terbuka serta bersedia menjalani siasatan secara bebas dan telus.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azam turut menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan serta harta mengikut peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi.
“Tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” ujarnya.
Laporan Bloomberg sebelum ini mendakwa Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan kira-kira 1.7 peratus pegangan berdasarkan penyata tahunan syarikat bertarikh 3 Februari tahun lalu.
Nama beliau juga dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Isu berkenaan didakwa bercanggah dengan pekeliling kerajaan 2024 yang menetapkan penjawat awam boleh memiliki saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam semalam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa tersebut.