BERITA SEMASA

Azam Baki dedah skala serius rasuah sistemik di Malaysia

KUALA LUMPUR – Gejala rasuah di Malaysia masih dikategorikan sebagai kritikal berikutan amalan sistemik yang terus berlaku, khususnya melibatkan ketirisan dalam sektor perolehan serta tadbir urus kewangan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam tempoh enam tahun lalu, negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM277 bilion akibat ketirisan dan salah guna kuasa.

“Rasuah dalam negara kita masih lagi serius dan beberapa sektor adalah sistemik, dalam enam tahun lalu RM277 bilion hilang,” katanya menerusi podcast 4 Dekad Perjuangan Azam Baki yang disiarkan di YouTube SPRM Malaysia, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa salah satu cabaran paling kritikal adalah ketirisan berskala besar dalam sistem perolehan kerajaan, yang menuntut pelaksanaan strategi lebih tegas dan konsisten demi mengukuhkan integriti pentadbiran.

Azam turut menegaskan SPRM tidak boleh bertindak berdasarkan tekanan atau permintaan pihak tertentu semata-mata, sebaliknya perlu berpegang kepada mandat dan tanggungjawab undang-undang.

“Bukan semua yang rakyat kata kita kena ikut tetapi kalau bersesuaian dengan kehendak negara, kita laksanakan. Mandat dan amanah itu penting,” katanya.

Beliau menambah, SPRM perlu kekal bebas dalam menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi sentimen atau pandangan awam yang bersifat jangka pendek.

“Kalau begitu (ikut semua desakan), lebih baik saya tutup SPRM. Sebelum siasat pun kena tanya orang ramai,” katanya lagi.

Azam berkata, sebagai ketua agensi, beliau bertanggungjawab terhadap hala tuju SPRM dan setiap keputusan yang dibuat mencerminkan keseluruhan organisasi.

“Saya melambangkan SPRM. Kalau saya silap, ia melibatkan keseluruhan agensi,” tambahnya.

Beliau menegaskan usaha membanteras rasuah memerlukan pendekatan berterusan, berasaskan prinsip dan tidak boleh dipengaruhi tekanan luar, demi kepentingan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button