BERITA SEMASADALAM NEGERI

Asfa Qawiy perlu hati baharu, ibu rayu bantuan RM200,000 selamatkan anak bongsu

JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati anak bongsunya, Asfa Qawiy, 11 bulan yang disahkan menghidap penyakit hati kronik (Biliary Atresia) sejak berusia dua bulan.

Nor Fatin Ismail, 33, berkata, anak kembar bongsunya itu kini bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan dan rawatan rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas keadaan hatinya semakin merosot.

Asfa Qawiy
Nor Fatin bersama anak kembar bongsunya, Asfa Qawiy yang kini dirawat di PPUM.

“Pada usia 3 bulan, Asfa pernah menjalani pembedahan Kasai di Hospital Sultanah Aminah bagi membantu aliran hempedu keluar dari hati.

“Namun, selepas beberapa bulan, keadaan hatinya semakin merosot dan doktor mengesahkan Asfa mengalami decompensated chronic liver disease,” kata Nor Fatin kepada Malaysia Tribune.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, pada mulanya mereka menyangka Asfa hanya menghidap penyakit kuning biasa.

“Tetapi apabila kulit, mata dan najis Asfa berubah warna serta perutnya semakin membesar, kami tahu ada yang tak kena.

“Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor sahkan saluran hempedu Asfa tersumbat sepenuhnya,” jelasnya lagi.

Asfa Qawiy
Asfa Qawiy (kanan) bersama kembarnya, Anas Qausar.

Menurut Nor Fatin, doktor memberitahu satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa anaknya itu ialah melalui pembedahan pemindahan hati (liver transplant) yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM200,000.

“Kami hanya mampu berdoa dan berusaha. Doktor beritahu, jika pembedahan tidak dijalankan segera, risiko komplikasi boleh meningkat.

“Saya merayu kepada orang ramai agar sudi membantu meringankan beban kami, walaupun hanya RM1,” katanya sebak.

Fatin yang merupakan seorang suri rumah berkata, dia tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga Asfa setiap hari, manakala suaminya, Muhammad Syafiq Rahmi A. Hamid, 33, bekerja di sebuah kilang di Singapura dengan gaji sekitar RM4,600 sebulan.

Asfa Qawiy
Muhammad Syafiq Rahmi bekerja kilang di Singapura untuk menampung keluarganya.

Pendapatan itu digunakan untuk membeli ubat, susu khas dan menampung kos ulang-alik hospital.

Pasangan itu mempunyai lima anak iaitu Aqil Qusyairy, 6, Ayra Qalesya, 4, Adli Qayyum, 3, serta pasangan kembar, Anas Qausar dan Asfa Qawiy.

Namun, hanya Asfa mengalami masalah kesihatan serius sejak lahir.

Setakat ini, keluarga Asfa menerima bantuan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (NPM) yang turut membantu mengurus kutipan dana dan memberi sokongan moral.

Asfa Qawiy
Nor Fatin dan suaminya bersama tiga anak mereka sebelum kelahiran kembar Asfa dan Anas.

Menurut kemas kini terbaharu, kutipan dana yang dijalankan sejak 17 Oktober hingga 21 Oktober 2025 telah mengumpulkan sebanyak RM38,441.42, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran keseluruhan RM200,000.

“Kami sangat berharap agar Asfa sempat menjalani pembedahan ini dan membesar seperti kanak-kanak lain. Semoga Allah membuka jalan dan mengurniakan kesembuhan buat anak kecil kami,” ujar Nor Fatin penuh berharap.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Maybank: 5515 7530 7417) dengan rujukan “Bantuan Asfa BA”.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Puan Mars (NPM) di 013-7444501, Encik Syafiq (bapa) di 016-7746751 atau Puan Fatin (ibu) di 017-6044903.

Asfa
Pertubuhan Nadi Permata merupakan NGO yang berdaftar dalam membantu anak-anak yang memerlukan rawatan pemindahan hati di China.
SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button