BERITA SEMASA

Anak pengasas Dnars bersyukur dapat semula wang RM1.3 juta

KUALA LUMPUR – Anak pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah memerintahkan pemulangan semula wang milik ibunya berjumlah RM1.3 juta.

“Apa yang ditakdirkan milik kita, tetap untuk kita walau macam mana pun orang ambil,” kata Irdiena Hakim Jasman melalui satu rakaman video yang dimuat naik di akaun TikToknya.

Menurut Irdiena yang aktif menguruskan syarikat Allahyarhamah Faziani, wang tersebut merupakan hak kepada adik bongsu lelaki dan perempuannya.

Ahmad Shah Rizal diberi tempoh 30 hari oleh mahkamah untuk mendepositkan semula wang tunai berjumlah RM1.3 juta milik Allahyarhamah Faziani (gambar kecil) dalam sebutan kes kelmarin.

Justeru, ketika duit tersebut ‘menghilang’, mereka adik beradik hanya meyakini akan kekuasaan Allah SWT.

“Pada awal duit ini ‘pergi’ macam itu saja, kami adik-beradik tidak mengharapkan pun akan dapat balik jumlah itu atau akan diletakkan balik dan dibahagikan secara adil.

“Tapi apakan daya Tuhan itu Maha Adil dan kuasa itu di tangan Tuhan. Dan itu adalah hak adik bongsu lelaki Dina dan bongsu perempuan.

“Ya betul, hak Dina ada saja, tapi Dina tak ambil lagi. Bagi Dina ini sekarang bukan tentang harta, ia tentang hak dan adil,” katanya.

Meskipun pada awalnya, dia tidak mahu bercakap tentang perkara tersebut, namun mengakui, berita gembira itu perlu dikongsi kepada pengikutnya

Wanita itu juga melahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan dirinya sekeluarga mendapat keadilan tersebut.

“Walaupun masa berlalu, tapi Allah tak pernah tidur. Apa yang ditakdirkan milik kita, tetap untuk kita walau macam mana pun orang ambil.

“Tapi apa yang bukan milik kita, apa yang bukan takdir kita, yang itulah kita kena ikhlaskan, kita kena reda. Konsep hidup ini senang saja, kalau bukan harta kita janganlah makan. Kalau bukan hak kita jangan ambil, kalau tidak akan terjerat diri,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkan suami Allahyarhamah Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, untuk mendepositkan semula wang tunai sebanyak RM1.3 juta milik isterinya ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka wanita itu.

Hakim Zaini Sulaiman mengarahkan wang tersebut dimasukkan dalam tempoh 30 hari ke akaun yang turut dipegang oleh anak sulung arwah iaitu Aqbar Hakim Jasman, 25, selepas membenarkan permohonan waris.

Pada 18 Mei 2019, Allahyarhamah Faziani meninggal dunia apabila kereta yang dipandu suaminya mengalami kemalangan ketika mereka dalam perjalanan untuk memberi sumbangan kepada beberapa pusat tahfiz di Pattani, Thailand.

Ahmad Rizal turut cedera dalam insiden tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button