BERITA SEMASA

Anak Allahyarham Fadzil Noor dilantik Mufti WP

PUTRAJAYA – Pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan baharu berkuat kuasa 23 Mei lalu.

Berita pelantikan itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Ahmad Fauwaz.

“Pelantikan ini telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Ini mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, beliau turut yakin Ahmad Fauwaz akan dapat memperkukuh peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga Allah SWT memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” katanya lagu.

Ahmad Fauwaz adalah anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang akidah pernah dilantik oleh kerajaan untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa.

Ahmad Fauwaz memiliki kelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya, selain pernah menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.

Pelantikan baharu itu adalah bagi menggantikan Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah yang kembali bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button