BERITA SEMASA

Akses ke KLIA Terminal 2 ditutup sementara 15, 17 April sempena lawatan Presiden China

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya tidak akan dapat mengakses Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada tempoh penutupan jalan sementara, iaitu esok dan Khamis ini, sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta KLIA Terminal 2 akan ditutup kepada semua kenderaan.

“Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1. Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya hari ini.

Penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan esok bermula jam 6 petang hingga jam 7 malam dan pada Khamis ini dari jam 8.50 pagi hingga jam 9.50 pagi membabitkan Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.

Sebagai alternatif, MAHB menggalakkan penumpang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke Terminal 1 dan 2, atau KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya, atau Salak Tinggi.

Selain itu, bagi pengguna jalan raya, laluan alternatif disarankan adalah melalui Lebuhraya ELITE (E6) > keluar di Tol Serenia > Kota Warisan (Bulatan Masjid) > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA (balai berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta).

“Kita memohon kerjasama semua pihak mematuhi arahan dan merancang perjalanan dengan teliti bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh lawatan rasmi ini,” katanya menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, MAHB turut menasihatkan semua penumpang merancang perjalanan mereka ke dan dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelak kelewatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button