BERITA SEMASADALAM NEGERI

AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA

KUALA LUMPUR – Seramai 99 warga asing ditolak kemasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kelmarin selepas gagal melepasi saringan keselamatan.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), semua individu berkenaan terdiri daripada 80 warga Bangladesh, 10 dari India dan sembilan dari Pakistan.

“Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.

“Semua 99 individu berkenaan yang merupakan lelaki telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang semula ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi intensif selama tujuh jam bermula 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti yang telah memeriksa lebih 400 individu dan menyasarkan penerbangan berisiko tinggi.

“Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan langkah penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button