Akmal luah isi hati pada Ketua Menteri
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendedahkan beliau telah meluahkan isi hati serta hasrat peribadinya kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam satu pertemuan hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook, namun beliau tidak memperincikan secara jelas perkara yang dibincangkan.
Bagaimanapun, ia dipercayai berkait rapat dengan spekulasi berhubung kemungkinan beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan dan arena politik.
Menurut Akmal, Ab Rauf merupakan individu yang banyak mempengaruhi perjalanan awal perjuangannya dalam UMNO, termasuk ketika beliau masih bergiat sebagai pemimpin mahasiswa.
“Hasrat dan isi hati telah saya luahkan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka hari ini. Beliau adalah individu yang mengenalkan perjuangan UMNO kepada saya dan banyak mengajar tentang dunia kepimpinan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas jasa dan bimbingan Ab Rauf sepanjang penglibatannya dalam parti, sambil menyatakan rasa bangga dapat berkhidmat bersama pemimpin berkenaan.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menjadi tumpuan apabila dilaporkan mempertimbang untuk melepaskan jawatan susulan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pucuk pimpinan UMNO yang tidak memenuhi gesaan Pemuda agar parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Minggu lalu, beliau memaklumkan sebarang keputusan muktamad berkaitan pendiriannya akan diumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








