BERITA SEMASA

AIFFA bantu rancakkan industri pelancongan Sarawak

 KUALA LUMPUR – Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang bakal diadakan di Kuching Sarawak pada 2 hingga 4 Ogos depan dijangka akan merancakkan industri pelancongan di bumi kenyalang itu.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, beliau yakin AIFFA akan menjadi pendorong terhadap sasaran tiga juta pelancong melawat Sarawak menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ketika ini, sebanyak 400,000 pelawat memasuki Sarawak setiap bulan, sekaligus memberi petanda yang baik terhadap sasaran tersebut dicapai.   

“Agak sukar untuk saya menjawab dari segi data tapi saya percaya ia akan memberi anjakan, apa-apa acara, apa-apa program yang menarik terutama sekali melibatkan artis dan selebriti mestilah ia akan menyebabkan anjakan jumlah orang yang datang (melancong ke Sarawak).

“Itulah cara saya dan kementerian serta agensi dibawah kementerian kenapa kita mahu buat acara ini (AIFFA).

“Kita (Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak) juga adakan promosi dalam International Tourism Month. Kita tidak ikut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kami agresif melakukan promosi bahkan sehingga ke Eropah.

“Sekarang kita dapat melihat buah-buah pelaburan dan saya percaya AIFFA ada kesan dia yang tersendiri yang akan menyebabkan lebih ramai orang mengetahui (berkunjung ke) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran AIFFA di Pawagam Jalan Ampas, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Festival AIFFA Livan Tajang.

Menurut Livan, sebanyak 120 filem dari 10 buah negara anggota ASEAN akan menyertai festival filem berkenaan yang kini memasuki tahun keenam penganjurannya.

Katanya, penyertaan yang diterima akan disenaraipendekkan kepada 30 dan 40 penyertaan oleh para juri dari negara Asia iaitu U-Wei Saari dan Effendee Mazlan dari Malaysia, Ihsan Nurullah Kabil (Turkiye) Viva Westi (Indonesia) dan Pham Thi Hong An (Vietnam).

“Penyertaan yang diterima akan disenaraipendekkan kepada 30 dan 40 penyertaan sahaja oleh para juri dari negara Asia yang diketuai oleh Penerbit Filem Malaysia iaitu U-Wei Saari setelah melalui tiga fasa penilaian. Pemenang akan diumumkan semasa Malam Gala dan Anugerah AIFFA 2023 kelak,” katanya.

Sebanyak 17 kategori akan dipertandingkan pada Malam Gala AIFFA yang akan berlangsung pada 4 Ogos depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button