AGAMABERITA SEMASALUAR NEGARA

Wira Sumud angkat tangan bukan tanda lemah, tapi mohon perlindungan Allah – Nadir Al-Nuri

KUALA LUMPUR – Ketua Misi Sumud Nusantara dalam konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkongsi pengajaran besar di sebalik latihan sebelum pelayaran, apabila peserta diminta mengangkat tangan sekiranya diserbu rejim Zionis.

Menurut beliau, pada awalnya timbul persoalan mengapa perlu tunduk seolah-olah menyerah kalah namun hakikat sebenar hanya difahami saat berdepan kezaliman penjajah.

“Masa training, berlaku pertembungan idea. Kenapa bila IOF (Tentera Pendudukan Israel) masuk, kami diminta angkat tangan ke atas macam menyerah.

“Kenapa perlu menyerah? Kenapa nak nampak lemah? Pusing-pusing tak ada kesimpulan.

“Hari ini (semalam) bila berdepan kezaliman penjajah, baru dapat jawapan. Mengangkat tangan yang paling tepat, adalah menadah tangan kepada Allah memohon perlindungan-Nya,” kata Nadir melalui saluran Telegram rasmi beliau.

Melalui hantaran itu, Nadir turut berkongsi gambar yang memperlihatkan situasi tersebut.

Ia jelas menunjukkan para aktivis dan sularelawan yang ditahan bukan mengangkat tangan tanda menyerah tetapi kedua telapak tangan diangkat seperti membuat permohonan doa.

Menerusi hantaran berbeza, Nadir turut memaklumkan, wira dan wirawati Sumud yang ditahan telah dibawa ke pelabuhan penjajah di Ashdod, Israel.

“Pasukan peguam GSF sedang berhubung dengan mereka untuk memberikan khidmat guaman.

“Insya-Allah, paling awal pagi esok (hari ini), kami akan kongsikan perkembangan lanjut. Sementara itu, teruskan aksi dan doa,” tambahnya.

Perkongsian Nadir itu menekankan kepentingan doa buat umat Islam yang tertindas.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button