AGAMABERITA SEMASALUAR NEGARA

Jemaah haji Malaysia ke 9 meninggal dunia di Tanah Suci

MEKAH – Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah keseluruhan korban bagi musim haji 1446 Hijrah/2025 Masihi meningkat kepada sembilan orang setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan jemaah terbabit, Syed Baharom Syed Hussin, 72, berasal dari Alor Setar, Kedah, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Mina Al Wadee pada pukul 4.53 pagi, semalam.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital setelah menerima rawatan awal di khemah di Mina susulan serangan jantung yang dialaminya.

“Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengambil langkah segera dengan menghubungi waris dan menyelia sepenuhnya urusan pengendalian jenazah serta hal-hal kebajikan berkaitan.

“Saya dan seluruh pasukan pengurusan Tabung Haji ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan TH, lapan daripada sembilan kematian jemaah haji Malaysia musim itu berpunca daripada serangan jantung, manakala satu lagi kes melibatkan komplikasi jangkitan kuman serta kegagalan organ yang berlaku pada 4 Jun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohd Na’im menegaskan pemantauan kesihatan jemaah Malaysia akan diteruskan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Saya menyeru agar semua jemaah menjaga kesihatan, mengikuti arahan petugas haji dan tidak memaksa diri dalam menjalankan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal seperti melontar jamrah, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas yang mencabar,” tambahnya.

TH turut mengingatkan suhu tinggi di tanah suci boleh memberi risiko kesihatan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button