PERKAHWINAN adalah sebuah perjalanan yang penuh warna-warni, liku-liku cabaran dan kegembiraan. Namun tidak semua daripada ikatan yang terjalin kekal selamanya.
Apabila terlerainya sesuatu ikatan, ramai yang terus menyimpan luka di hati. Sebahagiannya membawa retak di jiwa untuk mencari keadilan yang dirasakan tidak memihak kepada mereka.
Dan dalam setiap keluhan yang terpendam, kadangkala terselit suara kisah silam yang sudah lama berlalu tetapi diungkit demi pembelaan sebelah pihak.

Bagi sesetengah wanita, mungkin itu caranya untuk melepaskan rasa. Menceritakan kepedihan, menuntut simpati atau mungkin mencari pengakuan atas derita yang pernah dialami.
Namun, adakah tindakan mengungkit kisah lama bersama bekas suami satu bentuk kelegaan ataupun ia hanya menambah bara pada luka yang belum pernah padam?
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor, mengungkit kisah silam yang melibatkan aib atau kekurangan bekas pasangan, lebih-lebih lagi secara terbuka, bukanlah perbuatan yang terpuji dalam Islam.

“Islam sangat menekankan prinsip ‘sitr’ iaitu menutup keaiban, khususnya dalam perkara yang tidak lagi dapat diperbaiki,” tegas beliau kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut membawakan satu hadis di mana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa menutup (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim)
Usah semai benih kebencian
“Meskipun seseorang mungkin berasa teraniaya, Islam menganjurkan agar penyelesaian dicari melalui saluran yang betul seperti mahkamah syariah dan bukannya secara terbuka mencetuskan fitnah.
“Mengungkit kisah lama antara bekas suami atau isteri bukan sahaja membuka semula luka, malah boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.
“Anak-anak adalah cerminan hubungan ibu bapa. Jika ibu menyemai benih kebencian, mereka akan mewarisi kemarahan; jika ibu memilih ketenangan, mereka akan membesar dalam kedamaian.

“Walaupun hati ibu terluka, janganlah luka itu diwariskan pula kepada anak-anak. Mereka berhak jalani kehidupan yang bahagia,” pesan Dr. Khairunneezam.
Tegasnya lagi, peribahasa Melayu ada menyebut ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Justeru, suami isteri yang teruji perlu berusaha mempertahankan maruah, tetapi jangan sehingga mengorbankan masa depan anak-anak.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 memberi peringatan yang tegas:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”
“Maka, dalam situasi ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan contoh terbaik, bukan sekadar dari aspek luaran tetapi juga ketenangan dalaman yang terpancar melalui sikap sabar, beradab dan tidak membalas dengan kata-kata yang menyakitkan,” ungkap beliau.
Lelaki, bertanggungjawablah!
Sementara itu, Dr. Khairunneezam turut mengingatkan bahawa seorang lelaki tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawab selepas bercerai.
Nafkah zahir dan batin untuk anak-anak tetap wajib ditunaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 233 menyebut: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

Lelaki yang matang dan bertanggungjawab akan terus memelihara kebajikan emosi dan rohani anak-anak, walaupun hubungan dengan bekas isteri telah berakhir.
“Jangan biarkan sejarah mencatat kita sebagai ayah yang lari dari tanggungjawab terutama bab nafkah pada anak-anak,” tegas beliau lagi.
Memaafkan bukan membalas
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam Islam, menjaga keharmonian dan maruah keluarga adalah satu tuntutan.
“Oleh itu, membuka aib, menyalahkan pihak lain atau membalas dendam hanya akan membawa lebih banyak kerosakan dan membuatkan jiwa sukar meraih ketenangan.

“Sebaliknya, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar bersifat pemaaf dan ikhlas terhadap sesuatu perkara,” jelasnya.
Tambah beliau, memberi kemaafan adalah satu amalan yang sangat dituntut sebagaimana firman Allah SWT dalam surah ash-Shura, ayat 40 yang bermaksud: “Barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah atas (tanggungan) Allah.”
Berdamailah dengan takdir
Mengakhiri bicara, Dr. Khairunneezam menasihati para wanita yang pernah berdepan ujian berat dalam rumah tangga agar memilih jalan yang penuh hikmah.

“Berdamailah dengan takdir Allah. Mengungkit kisah lama hanya akan menambah luka, bukan menyembuhkan jiwa.
“Jadikan ketenangan, sabar dan doa sebagai pengubat hati demi diri sendiri dan lebih penting lagi, demi anak-anak yang sedang membesar mencari cahaya kehidupan duniawi,” tegas beliau penuh makna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








