Trend S-Line: Normalisasi zina, kikis sifat malu dalam diri
TREND permainan digital yang dinamakan S-Line kini popular di salah satu platform media sosial utama sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pendidik terhadap golongan remaja.
Trend yang bermula daripada drama Korea itu menampilkan konsep khayalan di mana seseorang diberikan kelebihan untuk melihat jumlah garisan pada kepala seseorang yang merupakan tanda berapa kali dia telah melakukan hubungan intim.

Setiap garisan mewakili satu hubungan yang pernah dilakukan dan sekiranya ‘pasangan’ berkenaan berada dalam satu kawasan yang sama, garisan berkenaan akan dapat dilihat berhubung antara dua individu.
Selepas popular di kaca televisyen, konsep yang sama dibawa ke dalam fungsi permainan media sosial dan kini menjadi ikutan ramai termasuk dalam kalangan pemilik akaun beragama Islam.
Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, apa yang lebih membimbangkan, trend tersebut mula diikuti oleh umat Islam dengan alasan sebagai ‘suka-suka’.

“Main-main atau tidak, ia melibatkan maruah kita sebagai umat Islam. Ini juga menunjukkan sifat malu dalam diri sudah hilang,” tegas beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ustazah Rohamiah berkata, trend seperti itu bukan sekadar hiburan kosong sebaliknya mencerminkan keruntuhan akhlak yang mengetepikan nilai maruah dan kesopanan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam.
“Dalam Islam, sifat malu adalah cabang daripada iman sebagaimana sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:
“Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa yang engkau mahu,” ujarnya.
Tegas beliau, hadis itu bukanlah menggalakkan untuk melakukan apa sahaja, tetapi satu peringatan keras bahawa hilangnya malu akan membawa manusia kepada segala bentuk maksiat dan kehinaan.
“Walaupun trend ini kelihatan ‘ringan’ dan kononnya hanya ‘main-main’, kesan psikologi dan kerosakan akhlak yang dibawa sangat besar.
“Ia menormalisasikan zina, menjadikan hubungan intim bebas seolah-olah sesuatu yang boleh ditertawakan, malah merosakkan pandangan remaja terhadap kehormatan diri,” katanya lagi.
Nasihatnya, sebagai umat Islam, kita sepatutnya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk hiburan yang menghakis nilai malu dan menjadikan maksiat sebagai bahan lawak atau permainan.
“Apa yang berlaku hari ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda akhir zaman.
“Apabila perkara mungkar dianggap biasa dan perkara baik dianggap asing, maka umat Islam wajib muhasabah dan memperkukuh benteng iman,” pesannya.
Justeru harus diingat, trend S-Line bukanlah sekadar permainan digital, tetapi satu bentuk serangan halus terhadap nilai Islam dan maruah umat.
Semoga kita sentiasa dipelihara daripada kelalaian dan terus menanam sifat malu sebagai benteng iman.
“Ya Allah, lindungi kami, ahli keluarga kami dan umat Islam daripada fitnah dunia akhir zaman. Amin,” doa beliau menutup hantaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




