
Tiada lagi senyuman saat umat Islam ditindas
DALAM lembaran sejarah Islam, kita temui sosok-sosok pemimpin yang bukan sahaja tegas dalam tindakan tetapi juga sangat halus dalam perasaan dan keprihatinan terhadap nasib umat Islam.
Melalui satu kuliah ilmu baru-baru ini, Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin berkata, antara yang paling menonjol ialah Raja Nur al-Din Mahmud Zanki, seorang pemerintah yang terkenal dalam era Perang Salib.

“Kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Syamah al-Maqdisi RA dalam kitab al-Raudhatain fi Akhbar al-Dawlatain.
“Ketika itu, Kota Damiyyat di Mesir telah diceroboh oleh tentera Perancis.
“Dalam suasana getir itu, Raja Nur al-Din sedang menghadiri sesi pembacaan hadis-hadis Nabi SAW yang antara lainnya termasuk hadis Musalsal bi al-Tabassum iaitu hadis yang diriwayatkan secara bersambung dengan senyuman,” ujar Syeikh Muhammad Fuad.
Menurut beliau, mengikut adat para perawi, setiap orang yang meriwayatkan hadis tersebut perlu tersenyum sebagai menepati cara penyampaian sanad.
Maka diminta kepada Raja Nur al-Din untuk meneruskan tradisi itu.
Namun, beliau menolak dan dengan penuh kesedaran berkata: “Sesungguhnya saya malu kepada Allah jika Dia melihat saya tersenyum, sedangkan umat Islam sedang dikepung oleh tentera Perancis!”
Jawapan itu bukan sahaja menggambarkan ketegasan beliau dalam memimpin, tetapi juga betapa dalamnya empati dan tanggungjawab beliau terhadap umat Islam seluruhnya meskipun ketika itu beliau berada di negara Syam, bukan di Mesir.
“Hakikatnya bagi Raja Nur al-Din, senyuman walaupun dalam konteks ibadah ilmu, ia tidak layak dizahirkan saat saudara seagama sedang dizalimi dan ditindas pihak musuh,” tegas beliau.
Ironinya kisah Raja Nur al-Din sangat dekat dengan apa yang berlaku pada umat Islam pada zaman ini.
Dalam dunia moden yang penuh dengan keselesaan dan hiburan, kisah sebegini menjadi cerminan diri.
Apakah kita masih mampu merasa luka dan pilu saat umat Islam terutama di Palestin dibunuh, ditindas, dipenjara dan dihina di seluruh dunia?
Atau hati kita sudah kebal, lali dan terus tersenyum tanpa rasa bersalah?
Raja Nur al-Din mengajar kita satu prinsip penting iaitu keprihatinan terhadap umat bukan sekadar dalam doa dan kata-kata, tetapi juga pada akhlak, perasaan dan tindakan.
Semoga Allah kurniakan kepada kita hati seperti hati Nur al-Din, yang tidak sanggup berhibur sementara umat Islam di seluruh dunia terus menderita.
Allahuakbar. Kami memohon keampunan-Mu, Ya Allah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |