AGAMABERITA SEMASA

Terus sebar kesedaran, doa dan sokongan untuk misi Global Sumud Flotilla – Bonda Nor

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru terus menyebarkan kesedaran mengenai kezaliman rejim Zionis selain menderma dan mendoakan keselamatan para sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila yang kini berada dalam tahanan Israel.

Menurut penulis prolifik, Bonda Nor, penahanan itu bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya telah dijangka sejak awal memandangkan misi tersebut berdepan musuh yang digambarkan Allah dalam al-Quran dengan sifat kesyaitanan dan kezaliman yang nyata.

“Kita pergi bukan kerana bodoh atau tidak menimbang risiko tetapi kerana umat Islam sedang ditindas di sana.

“Kalau tiada yang berusaha hantar bantuan, semua umat Islam berdosa. Alhamdulillah, ada yang berani dan nekad memikul tanggungjawab ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Bonda Nor menegaskan bahawa misi itu tidak akan sia-sia, kerana kezaliman musuh nombor satu itu kini dipertontonkan kepada dunia.

Malah, kecaman terhadap Israel hadir bukan sahaja daripada masyarakat Islam, bahkan turut disuarakan oleh masyarakat bukan Islam yang masih mempunyai fitrah kemanusiaan.

GSF
Seramai 34 sukarelawan dari Malaysia mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dengan 23 daripadanya kini berada dalam tahanan Israel.

Beliau turut mengkritik sikap negara-negara jiran Palestin serta beberapa negara Arab yang memilih berdiam diri, menutup sempadan atau menormalisasi hubungan dengan Israel atas nama kepentingan politik dan ekonomi.

“Mereka ada kuasa, ada pengaruh, ada sumber. Tetapi bila saudara mereka ditekan dan disembelih, mereka lebih sibuk menjaga hubungan dagang dan imej politik.

“Diam mereka bukan neutral tetapi pengkhianatan terhadap maruah agama,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa perjuangan itu bukan sekadar soal kekuatan tetapi soal keikhlasan.

“Mungkin yang akan mengubah dunia bukanlah mereka yang duduk di kerusi kuasa, tetapi mereka yang berani berdiri walau tanpa sandaran.

“Yang istiqamah menulis walau tanpa pujian. Yang tulus memberi walau tanpa balasan. Yang menangis untuk orang lain walau dirinya sendiri sedang diuji,” katanya lagi.

Bonda Nor turut menegaskan misi GSF bukan sekadar misi menghantar bantuan, tetapi simbol keberanian, kesatuan dan cinta terhadap kebenaran.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus menjadi penyokong dengan cara menyebarkan maklumat, menjadi penggerak doa dan dana kerana setiap langkah para pejuang itu adalah amanah bersama.

“Keberanian mereka adalah cermin kekuatan kita semua. Dan bila umat bersatu, dunia akan tahu bahawa kebenaran tidak pernah berjalan sendirian.

“Doakan para hero kita yang telah ditahan sentiasa dalam jagaan dan rahmat Allah,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button