
Terima Islam lepas lihat rakan mualaf hidup lebih tenang – Mei Paik
Oleh AMIR SARIFUDIN
PERMATANG PAUH – “Dahulu semasa menjadi penyanyi di sebuah restoran, aku dikelilingi ramai teman tetapi kini semua itu sudah berakhir. Tiada siapa pun lagi yang mahu mendampingiku,” kata Tan Mei Paik memulakan perbualan.
Menceritakan lebih lanjut, wanita berusia 51 tahun itu berkata, dia mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun namun perkahwinannya tidak bertahan lama.
Selepas memikirkan perjalanan dan pengakhiran hidup yang dirasakan tidak berkesudahan, dia baru-baru ini mengambil keputusan untuk mendekati Islam dan menerima hidayah agama suci itu.

“Saya memulakan karier menjadi penyanyi di sebuah restoran sejak sekian lama dan berkahwin pada usia 18 tahun. Selain itu saya pernah bekerja di kedai minuman keras.
“Saya juga pernah berkahwin kali kedua. Dari dua perkahwinan itu, saya mempunyai dua anak lelaki yang berusia 30 dan 21 tahun.
“Akhir-akhir ini saya terfikir sampai bila kehidupan saya akan berterusan seperti ini. Kini saya tidak mempunyai sesiapa lagi. Emak dan bapa pun sudah sekian lama meninggal dunia.
“Setelah bertemu seorang kawan mualaf, saya tertarik untuk bersyahadah dan peluk Islam apabila mendapati kehidupan kawan tadi begitu tenang,” katanya.
Mei Paik yang tinggal di Bukit Mertajam mengucapkan syahadah dengan dipimpin oleh ahli Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) yang juga merupakan seorang guru, Che Siti Nuraisyah Che Suhaimi.
Program bersyahadah di Masjid Permatang Janggus dekat sini itu turut disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim dan beberapa jemaah selepas selesai solat Jumaat.

Sebelum bersyahadah, Che Siti Nuraisyah turut menerangkan kepada Mei Paik mengenai agama Islam termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman dalam bahasa Mandarin.
Mei Paik berkata, dia berdoa agar pengakhiran hidupnya akan lebih baik dan terjamin kerana dunia glamor sebelum ini tidak kekal untuk selama-lamanya.
“Saya yakin Islam akan menjaga dan selamatkan saya di dunia dan akhirat,” katanya.
Di samping itu, kata Mei Paik, dia gembira apabila mendapati ramai rakan-rakan dari kalangan orang Islam sanggup memberi bimbingan mengenai agama Islam.
“Jabatan Agama Islam negeri juga sedia membantu dan membimbing saya.
“Saya juga teringin untuk menjalani ibadah puasa Ramadan pada bulan depan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |