Tempoh kelulusan poligami di Melaka dipendekkan kepada 21 hari
MELAKA – Kerajaan Melaka memperkenalkan pembaharuan baharu dalam urusan permohonan poligami apabila tempoh kelulusan dipendekkan kepada hanya 21 hari, berbanding berbulan-bulan sebelum ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Mahkamah Syariah Melaka bagi memudahkan urusan umat Islam yang ingin berpoligami.
“Jika permohonan memenuhi semua syarat dan dokumen lengkap, kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh 21 hari sahaja.
“Dahulu proses ini mengambil masa yang lama, tetapi kini dengan penambahbaikan yang dilakukan, ia jauh lebih cepat,” katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Rahmad mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada menikah melalui sindiket, kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah pada masa hadapan.
Menurutnya, pernikahan secara sindiket sukar untuk didaftarkan secara sah, malah turut menjejaskan masa depan anak-anak hasil perkahwinan tersebut.
“Anak-anak yang lahir daripada pernikahan sindiket ini akan mengalami kesukaran untuk dibinkan dengan nama bapa, menyebabkan masalah besar untuk bersekolah dan bekerja kelak.
“Sebab itu saya tegaskan, jangan sesekali terlibat dengan pernikahan sindiket,” katanya lagi.
Kerajaan negeri berharap dengan langkah ini, urusan poligami dapat diuruskan dengan lebih teratur dan sah di sisi undang-undang, selain menjaga kesejahteraan institusi keluarga di negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








