
Takbir raya lambang ibadah, bukan alat sindiran politik – Dr. Zulkifli
KUALA LUMPUR – Perbuatan mempermainkan takbir raya atas nama gurauan dan perbezaan ideologi politik merupakan tindakan yang tidak wajar, demikian tegas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Menurut Zulkifli, takbir raya bukan sahaja menjadi tanda keinsafan dan pengagungan kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan, malah ia turut merupakan antara amalan sunnah ketika sambutan Aidilfitri.
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur,” katanya berdasarkan firman Allah (Surah al-Baqarah: Ayat 185).
Beliau berkata, hadis riwayat Anas pula menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan bertakbir.”
“Bukan semua perkara perlu dibangkang dan bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.
“Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar – dan dikaji secara bersungguh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zulkifli berkata demikian bagi mengulas isu rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah disunting dan dijadikan bahan gurauan pihak tidak bertanggungjawab.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, perbezaan pandangan tidak salah, namun ia tidak seharusnya membawa kepada penghinaan, aib atau fitnah, apatah lagi melibatkan kesucian nama Allah dan martabat Islam sebagai agama yang mulia.
“Melaungkan Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut, bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |