
PENENTUAN malam Lailatul Qadar adalah berbeza mengikut empat benua utama dunia kerana faktor geografi, peredaran bulan dan hisab kalendar Islam yang digunakan oleh negara masing-masing.
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiah Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, negara di benua Timur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu sering memulakan Ramadan lebih awal atau lewat sehari berbanding negara lain.

Katanya, malam ganjil di sana mungkin berbeza dengan Malaysia dan Indonesia.
“Asia Tenggara pula menggunakan kaedah rukyah dan hisab manakala benua Eropah dan Amerika sering bergantung kepada keputusan persatuan Islam tempatan.
“Benua Afrika seperti Maghribi dan Nigeria pula sering mengikut Arab Saudi dalam menentukan 1 Ramadan namun ada ketika mereka menggunakan hisab tempatan yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Menurut Dr. Muhammad Sufi, oleh kerana berlaku perbezaan masa itu, para ulama menasihatkan agar umat Islam memperbanyakkan ibadah di sepanjang 10 malam terakhir Ramadan supaya tidak ketinggalan dalam memburu Lailatul Qadar.

Tambahnya, menganggap setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan adalah Lailatul Qadar lebih ‘selamat’ supaya tidak terlepas untuk mendapatkan keberkatannya yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Qadr, ayat 3: “Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Ia juga bertepatan dengan hadis Nabi SAW iaitu: “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
“Antara amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan termasuklah solat sunat qiamulail, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa memohon keampunan, bersedekah dan melakukan kebajikan,” katanya yang juga merupakan Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa.

Ujar Dr. Muhammad Sufi, usaha yang berterusan dalam mencari malam Lailatul Qadar adalah lebih utama daripada sekadar mencari kepastian mengenai tarikhnya yang sebenar.
“Walaupun begitu, kita digalakkan untuk terus memperbanyakkan ibadah sepanjang tahun dan tidak hanya menumpukan kepada ibadah tertentu sahaja,” nasihat beliau.
Apa yang pasti, mengejar ganjaran Lailatul Qadar merupakan impian setiap umat Islam yang mengetahui kelebihannya.

Bagaimanapun, jelas Dr. Muhammad Sufi, para ulama tasawuf sentiasa mengingatkan agar kita lebih mengejar redha pemilik kepada malam Al-Qadr itu sendiri iaitu Allah SWT.
Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali: “Carilah Tuhan malam Lailatul Qadar, bukan hanya malamnya. Barangsiapa mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan, maka baginya setiap malam adalah Lailatul Qadar.”
Manakala Sheikh Ibnu Atho’illah As-Sakandari dalam Hikamnya menyatakan: “Janganlah tertipu dengan amal yang banyak, tetapi lihatlah apakah Allah redha padamu atau tidak. Sesungguhnya yang bernilai bukanlah malam itu sendiri, tetapi siapa yang dimuliakan oleh Allah pada malam itu.”
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |