AGAMABERITA SEMASALUAR NEGARA

22 maut, gereja di Damsyik jadi sasaran serangan berani mati

DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 22 terbunuh manakala 63 lagi cedera dalam insiden tembakan dan serangan berani mati di sebuah gereja Ortodoks di kawasan Dwelaa, semalam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Syria, serangan itu dilakukan seorang militan Daesh ketika jemaah berkumpul di Gereja Saint Elias.

“Seorang penyerang berani mati yang berkait dengan kumpulan pengganas Daesh memasuki gereja, melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai sebelum meletupkan diri.

“Kejadian berlaku pada waktu siang itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk setempat, manakala pihak keselamatan segera mengepung kawasan terbabit bagi mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 63 individu cedera dalam insiden itu, angka korban dijangka meningkat susulan beberapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Saksi kejadian, Lawrence Maamari berada di dalam gereja ketika serangan berlaku.

“Saya melihat seorang lelaki bersenjata masuk sebelum melepaskan tembakan ke arah jemaah.

“Orang ramai cuba menghalang suspek, namun dia sempat mengaktifkan tali pinggang letupan,” katanya.

Sementara itu, Ziad Helou, 40, berada di sebuah kedai berdekatan memaklumkan beliau terdengar beberapa das tembakan disusuli satu letupan kuat sebelum melihat api dan serpihan kaca di dalam gereja.

“Kami nampak bangku kayu dari dalam gereja terpelanting hingga ke pintu masuk,” ujarnya.

Serangan terhadap gereja itu adalah yang pertama di Syria sejak konflik meletus pada 2011.

Insiden seumpamanya tidak pernah berlaku di Damsyik sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad Disember lalu.

Masyarakat antarabangsa mengecam keras serangan itu dan menggesa kerajaan baharu agar melindungi komuniti minoriti daripada ancaman pelampau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button