AGAMARENCANA

Raih keberkatan di dunia, akhirat dengan selawat

SELAWAT ke atas Rasulullah SAW bukan sekadar amalan lisan, tetapi ia satu ibadah yang penuh dengan hikmah dan keberkatan.

Malah, keagungan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW ini jelas terzahir melalui firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi SAW. Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berselawat ke atasnya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

AMALAN selawat ke atas Rasulullah SAW terutama pada hari Jumaat mampu membuatkan umat Islam meraih keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Dr Muhammad Sufi Ibrahim berkata, dalam setiap alunan selawat yang kita ucapkan, ia termasuk dalam pengertian zikrullah lantaran melaluinya terdapat doa dan permohonan kita kepada Allah SWT agar memberikan rahmat dan kesejahteraan kepada Baginda SAW.

“Selain itu, di dalam selawat juga terkandung makna cinta buat para perindu kekasih Allah SWT ini. Semakin mendalam cinta dan kasih kita pada Rasulullah SAW, maka sudah pasti kita akan sentiasa menyebut dan membasahi lidah kita dengan selawat yang berpanjangan.

“Malah antara kelebihan utama membaca selawat adalah memperoleh rahmat daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang berselawat kepadanya sekali, maka Allah SWT akan berselawat kepadanya sepuluh kali.

Dr Muhammad Sufi mengajak umat Islam supaya istiqamah berselawat dalam menjalani kehidupan seharian.

“Ini menunjukkan bahawa selawat adalah pintu untuk mendapatkan kasih sayang Allah yang tinggi nilainya buat kita,” kata Dr Muhammad Sufi kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, dengan melazimi amalan selawat, seorang Muslim membuka peluang untuk menerima rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam kehidupan sehariannya.

“Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk memperbanyakkan selawat kerana ia juga menjadi wasilah dalam menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

“Amalan membaca selawat adalah cara yang efektif untuk membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mengingatkan kita untuk sentiasa memohon keampunan dan memperbaiki diri dalam menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya di dunia ini,” jelas beliau lagi.

Dengan memperbanyakkan selawat, umat Islam boleh menempatkan dirinya dalam golongan yang mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat kelak.

Menurut Dr Muhammad Sufi, antara janji besar yang terkandung dalam amalan selawat adalah peluang untuk mendapatkan syafaat Nabi Muhammad SAW di Hari Kiamat.

Dalam satu hadis, Baginda SAW bersabda: “Orang yang paling berhak mendapat syafaatku pada Hari Kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” – Hadis Riwayat Tirmizi

“Syafaat Nabi SAW merupakan anugerah terbesar bagi umat Islam, terutama pada hari yang penuh dengan kegelisahan dan kesukaran.

Dengan memperbanyakkan selawat, umat Islam boleh menempatkan dirinya dalam golongan yang mendapat pertolongan Rasulullah SAW.

“Di samping itu, amalan selawat turut berfungsi sebagai terapi jiwa yang memberikan ketenangan dan kedamaian kepada hati yang resah.

“Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT akan mencurahkan ketenangan dalam hati sesiapa yang memperbanyakkan selawat kepadanya.

Kolej Islam As Sofa turut menganjurkan bacaan selawat Dalail Al-Khairat secara berjemaah pada setiap malam Jumaat.

“Justeru, bagi mereka yang sering berasa gundah, selawat mampu menjadi penawar bagi jiwa dan sumber kekuatan kita dalam menghadapi cabaran kehidupan,” tegas beliau.

Apa yang pasti, selawat merupakan amalan yang memberikan ganjaran yang besar termasuklah dikurniakan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Ini kerana bagi setiap selawat yang kita lafazkan, Allah SWT akan mengangkat darjat seseorang sebanyak sepuluh darjat dan menghapuskan sepuluh dosanya.

“Amalan ini bukan sahaja meningkatkan darjat seseorang di dunia, bahkan juga memberikan ganjaran abadi di akhirat sana.

Selawat merupakan manifestasi cinta umat kepada Rasulullah SAW dalam menggapai redha Allah SWT.

“Selawat adalah satu bentuk ibadah yang mudah dilakukan namun memberikan ganjaran yang luar biasa.

“Justeru, marilah kita melazimi amalan selawat ke atas Rasulullah SAW ini dengan istiqamah sehingga kita menutup mata buat selamanya kelak,” ungkap beliau.

Kesimpulannya, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah tanda manifestasi cinta umat kepada Baginda dan ketaatan kepada Allah SWT.

Jom kita berazam memperbanyakkan selawat dalam kehidupan seharian. Semoga Allah SWT menghimpunkan kita bersama Rasulullah SAW di syurga-Nya yang tertinggi di akhirat nanti. Amin Insya-Allah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button