AGAMARENCANA

Qawwam: Suami impian wanita, tanggungjawab besar bagi lelaki

PADA era dunia moden yang penuh cabaran ini, ramai wanita mendambakan seorang lelaki yang mampu membimbing dengan penuh kasih sayang, melindungi dengan hikmah dan menafkahi dengan penuh rasa tanggungjawab.

Namun, siapakah sebenarnya lelaki qawwam yang disebut dalam al-Quran? Adakah ia sekadar simbol kelelakian atau satu amanah berat yang memerlukan tarbiah rohani dan kefahaman mendalam terhadap agama?

Golongan lelaki qawwam mampu membimbing dan mendidik isteri ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, lelaki qawwam bukan sekadar ketua keluarga yang memberi arahan, tetapi ialah insan yang benar-benar memahami peranan besar yang dipikulnya di sisi Allah SWT dan manusia.

“Lelaki qawwam ialah mereka yang diberi amanah oleh Allah untuk memimpin, melindungi dan menafkahi keluarga.

“Ia bukan kedudukan yang boleh dibanggakan, sebaliknya satu tanggungjawab berat yang mesti ditunaikan dengan penuh amanah dan takwa,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.

Ciri-ciri lelaki qawwam sejati

Menjelaskan lebih lanjut, Ustazah Amienah menekankan bahawa lelaki yang benar-benar qawwam ialah mereka yang mentaati segala perintah Allah SWT.

“Selain itu, mereka juga mestilah mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW dan bertanggungjawab memelihara amanah.

Ustazah Amienah Ridzwan

“Malah, golongan lelaki qawwam ini akan berusaha melindungi dan mencegah keluarganya daripada perkara yang mengundang kemurkaan Allah.

“Hakikatnya, kepimpinan seorang lelaki bukan hanya diukur melalui suara atau kuasa yang dimiliki, tetapi terletak pada sejauh mana dia membimbing keluarganya ke arah redha Ilahi,” jelas beliau lagi.

Ditanya mengapa wanita memilih untuk mencari lelaki qawwam, Ustazah Amienah mengungkapkan ia sebagai fitrah wanita.

“Allah SWT menciptakan golongan Hawa dengan fitrah ingin disayangi, dilindungi dan dihargai.

“Maka tidak hairanlah jika lelaki qawwam menjadi dambaan ramai wanita di luar sana,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan para wanita agar memulakan pencarian lelaki qawwam dengan memperbaiki diri terlebih dahulu.

“Seorang wanita yang membawa akhlak dan sahsiah Islam yang baik akan mudah mengenal lelaki yang mempunyai ciri kepimpinan qawwam yang sebenar,” katanya.

Antara ciri-ciri lelaki qawwam ialah mereka yang berkepimpinan, bertanggungjawab, wali kepada ahli keluarga, memelihara kehormatan isteri dan melindungi ahli keluarga.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan besar pendidikan rohani dan tarbiah dalam membentuk seorang lelaki qawwam sejati.

“Lelaki perlu terlebih dahulu membentuk dirinya sebagai cerminan kebaikan, sebelum boleh memimpin orang lain.

“Dengan itu, dia akan menjadi pemimpin yang adil, sabar dan penuh rasa tanggungjawab,” tegasnya.

Mengharungi cabaran moden

Dalam zaman serba canggih ini, tekanan ekonomi, pengaruh media sosial dan gaya hidup moden sering menjadi penghalang kepada pembentukan peribadi qawwam.

Namun menurut Ustazah Amienah, semua itu boleh diatasi dengan beberapa faktor.

Antaranya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model insan terbaik dan merapatkan hubungan dengan Allah SWT.

Lelaki yang mendekatkan diri dengan Allah mampu melaksanakan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Tidak terkecuali, mereka juga perlu mendapatkan bimbingan daripada guru yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam dan tidak bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk ilmu tanpa bimbingan,” jelasnya.

Nasihat buat wanita

Mengakhiri perkongsian, Ustazah Amienah turut menitipkan nasihat bermakna kepada para isteri.

“Jangan mencari kesempurnaan pada suami, tetapi carilah peluang memperbaiki diri sendiri.

“Terimalah kelemahan suami dan hargai keunikan yang ada padanya. Memiliki suami adalah ladang pahala yang luas buat para isteri.

Wanita perlu berusaha mentaati perintah suami selagi mana ia tidak melanggar ketetapan syarak. 

“Taatilah mereka selagi mana tidak diperintah untuk melanggar ketetapan syarak. Ini kerana mentaati suami dijanjikan pahala sedangkan mengingkari mereka mendatangkan dosa,” nasihat Ustazah Amienah.

Beliau turut mengingatkan tentang janji Rasulullah SAW terhadap golongan wanita yang dijanjikan syurga melalui sabda Baginda:

“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Kemuliaan lelaki di sisi Allah

Sesungguhnya, gelaran qawwam yang dianugerahkan kepada lelaki bukan sekadar keistimewaan, tetapi suatu amanah yang besar, menuntut kebijaksanaan, kasih sayang dan pengorbanan yang tidak bertepi.

Dalam kelembutan hatinya, tersembunyi kekuatan memimpin; dan dalam tegasnya bicara, terhimpun hikmah membimbing.

Lelaki qawwam sentiasa prihatin dan menjaga isteri serta ahli keluarga agar sentiasa berada di jalan yang diredhai Tuhan. 

Maka jadilah lelaki yang bukan hanya memegang tanggungjawab, tetapi juga memaknakan kepimpinan dengan cinta, iman dan taqwa.

Kerana di sinilah letaknya kemuliaan seorang lelaki di sisi Allah SWT – apabila dia benar-benar menjadi qawwam atas nama Tuhan yang Maha Pemelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button