
PMX kembali ke UIAM, Dr Zulkifli imbau peranan awal penubuhan universiti
GOMBAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjejakkan kaki ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam program MeetAnwar@IIUM, sekali gus mengimbau sejarah awal penubuhan institusi tersebut yang turut melibatkan sumbangan besar beliau.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga melihat perkembangan terkini universiti tersebut.
“Alhamdulillah, penuh kesyukuran menyaksikan perkembangan terkini UIAM. UIAM mempunyai keunikannya tersendiri sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, UIAM merupakan antara empat universiti yang mempunyai kaitan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selain Islamic University of Technology (IUT) di Bangladesh, Islamic University of Uganda (IUIU) dan Islamic University Niger (IUN).

Jelasnya, UIAM menjadi universiti Islam antarabangsa paling ke hadapan dari segi pencapaian dan sumbangannya dalam dunia pendidikan dan pemikiran Islam.
Zulkifli berkata, penubuhan UIAM secara rasmi pada 10 Mei 1983 merupakan hasil sinergi antara Anwar yang ketika itu merupakan Presiden PKPIM dan ABIM, bersama sokongan masyarakat antarabangsa menerusi OIC.
“Malah, ramai tokoh tempatan dan luar negara turut memberi sumbangan dalam menjayakan gagasan Islamisasi ilmu.
“Namun, tidak boleh dinafikan sumbangan utama Anwar terhadap UIAM, khususnya semasa beliau memimpin PKPIM, ABIM dan ketika menjadi Menteri Pelajaran,” katanya lagi.
Pada 23 September 1970, Anwar ketika menjadi Presiden PKPIM pernah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak bagi menggesa penubuhan universiti Islam bertaraf antarabangsa.
“Pada tahun yang sama dengan penubuhan UIAM, Bank Islam Malaysia Berhad turut ditubuhkan sebagai bank Islam pertama di Malaysia yang turut dipelopori oleh Anwar menerusi penubuhan Koperasi Belia Islam (KBI).
“KBI merupakan institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk kewangan berlandaskan syariah.
“Anwar kemudian dilantik menjadi Presiden UIAM selama lebih 11 tahun iaitu dari 1988 hingga 1999,” katanya lagi.
Beliau turut mendoakan agar UIAM terus kekal cemerlang mendidik umat serta mengekalkan tradisi unik seperti pemakaian songkok UIAM dan alunan Selawat Burdah semasa majlis konvokesyen dan acara rasmi universiti.
“Semoga Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia. Madani terus bekerja, fastabiqul khairat,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |