
PEPERANGAN Badar bukan sekadar pertempuran biasa dalam sejarah Islam, tetapi ia adalah simbol pemisah antara hak dan batil, antara keimanan dan kekufuran.
Berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah (17 Mac 624 Masihi), perang itu manyaksikan bilangan tentera Muslim yang dipimpin Nabi Muhammad SAW hanya berjumlah 313 orang untuk berdepan lebih 1,000 tentera Quraisy.
Perjuangan dalam Perang Badar bukan hanya menguji keimanan dan keteguhan hati para sahabat Rasulullah SAW, tetapi juga menjadi bukti bahawa kekuatan iman dan tawakal lebih utama daripada jumlah atau persiapan fizikal.

Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata, peperangan itu berlaku kerana beberapa faktor.
“Sebelum peristiwa hijrah ke Madinah, umat Islam di Makkah telah mengalami pelbagai bentuk penyeksaan dan tekanan daripada Musyrikin Quraisy.
“Mereka dianiaya, ditindas dan dipulaukan semata-mata kerana memilih Islam sebagai agama mereka.
“Setelah kaum Muhajirin berhijrah ke Madinah, harta mereka yang ditinggalkan telah dirampas oleh kaum Quraisy sekali gus menambahkan ketegangan antara kedua-dua pihak,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, apabila kaum Quraisy melihat perkembangan Islam sebagai ancaman kepada kedudukan mereka di Makkah, mereka merancang untuk menghancurkan Islam dengan menyerang kota Madinah.

“Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW merancang untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan sebagai strategi ekonomi untuk melemahkan mereka.
“Peristiwa inilah yang akhirnya membawa kepada peperangan yang tidak dapat dielakkan di sebuah kawasan bernama Badar,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Najaa’ berkata, dalam peperangan tersebut, Nabi Muhammad SAW menggunakan pelbagai strategi bijak.
Malah, sebelum pertempuran bermula, Baginda SAW berdoa dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Kepimpinan Baginda SAW terserlah apabila tentera Islam diatur dengan disiplin yang tinggi dan strategi yang tersusun.
“Rasulullah SAW juga menggunakan taktik yang pintar dengan meletakkan pemanah di posisi strategik serta mengawal sumber air bagi menghalang musuh daripada mendapat bekalan.

“Walaupun hanya berjumlah 313 orang berbanding 1,000 tentera Quraisy, tentera Islam tetap berjuang dengan penuh keyakinan kerana percaya kepada pertolongan Allah SWT.
“Semangat jihad yang tinggi dan keimanan yang teguh menjadi faktor utama kejayaan mereka. Allah SWT turut menunjukkan pertolongan-Nya dengan mengutus para malaikat untuk membantu tentera Islam di medan perang,” katanya.
Peristiwa Perang Badar memberikan banyak pengajaran kepada umat Islam.
Kemenangan ini membuktikan bahawa kejayaan tidak bergantung kepada jumlah tentera yang ramai, tetapi kepada keimanan, strategi yang baik dan disiplin dalam perjuangan.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 123 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”
Menurut Dr. Ahmad Najaa’ lagi, meskipun tentera Islam lemah dari segi fizikal, mereka sangat kuat dari segi mental dan hati yang terus memohon pertolongan daripada Allah SWT.

“Ini berbeza dengan Perang Hunain, di mana tentera Islam yang berjumlah 12,000 orang ketika itu mengalami kekalahan kerana berasa terlalu yakin dengan jumlah mereka sehingga kurang bergantung kepada Allah SWT.
“Begitu juga dalam Perang Uhud, di mana kekalahan terjadi akibat ketidakpatuhan terhadap strategi dan perintah Rasulullah SAW,” tegas beliau.
Hakikatnya, Perang Badar bukan sekadar peperangan biasa, tetapi ia adalah simbol keimanan dan kebijaksanaan dalam memartabatkan perjuangan dan syiar Islam.
“Peristiwa ini mengajar kita bahawa kejayaan akan datang apabila kita berpegang teguh dan meletakkan sepenuh pergantungan diri kepada Allah SWT dan mengikut lunas agama Islam yang sebenar.
“Di samping itu, tindakan bekerjasama dan bersatu padu dalam merencana sesuatu perancangan pasti akan membuahkan kejayaan.
“Ini yang perlu dicontohi umat Islam masa kini. Semoga kita mampu menyerap semangat tentera Badar dalam berdepan ujian akhir zaman yang penuh cabaran,” katanya.
Dalam Perang Badar, seramai 14 orang tentera Islam telah syahid. Mereka terdiri daripada enam orang dari golongan Muhajirin dan lapan orang dari golongan Ansar.

Rasulullah SAW sangat menghargai pengorbanan para sahabat yang syahid dalam peperangan ini. Baginda SAW bersabda:
“Barangkali Allah telah melihat kepada ahli Badar, lalu berfirman: ‘Lakukanlah apa yang kamu mahu, kerana sesungguhnya Aku telah mengampuni kalian.'” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis ini menunjukkan keistimewaan para sahabat RA yang berjuang dalam Perang Badar, di mana Allah SWT telah mengampuni dosa mereka kerana keikhlasan dan pengorbanan mereka dalam perjuangan Islam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |