Pendirian tegas Terengganu tolak LGBT wajar dicontohi negeri lain
KUALA LUMPUR – Pemasangan papan tanda larangan berkaitan perbuatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh kerajaan negeri Terengganu disifatkan sebagai langkah berani dan wajar dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.
Menurut Ketua Pemuda PAS Gombak, Iqman Iberahim, tindakan itu mencerminkan iltizam dan moral kerajaan negeri dalam memelihara akidah serta akhlak rakyat daripada pengaruh budaya songsang.
“Ini bukan soal diskriminasi, tetapi soal mempertahan fitrah. Kita menolak perbuatan, bukan membenci pelaku. Pendirian tegas seperti ini perlu untuk menyelamatkan masyarakat daripada ideologi yang merosakkan,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Menurutnya, papan tanda yang memaparkan simbol perbuatan terlarang bersama ayat al-Quran itu berfungsi sebagai peringatan awam dan bentuk pendidikan moral kepada masyarakat.
“Dunia meraikan normalisasi maksiat, usaha sebegini harus dilihat sebagai dakwah, bukan provokasi.
“Teguran dalam Islam adalah tanda cinta. Bila masyarakat hilang kepekaan terhadap maksiat, kita sebenarnya sedang membuka ruang kepada kerosakan yang lebih besar,” ujarnya.
Mengulas statistik Kementerian Kesihatan yang menunjukkan lebih 60 peratus jangkitan HIV baharu pada 2024 berpunca daripada hubungan sejenis, Iqman menegaskan bahawa isu itu tidak lagi bersifat peribadi.
“Ini sudah menjadi isu kesihatan awam dan keselamatan generasi. Ia memerlukan tindakan jelas dan berprinsip, bukan toleransi yang mengelirukan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri Selangor dan negeri-negeri lain supaya mengambil pendekatan serupa dalam membina benteng moral masyarakat, terutama golongan muda.
“Kita perlukan kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran walau tidak popular. Jika niatnya kerana Allah, pasti akan ada keberkatan,” tambahnya.
Masyarakat Islam perlu dibimbing agar sentiasa sedar akan batas yang ditetapkan agama, dan ketegasan dalam hal itu bukanlah kebencian, tetapi tanda bahawa masih peduli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








