AgamaRencana

Patuhi batasan syariat ketika bersalaman di Aidilfitri

HARI Raya Aidilfitri merupakan hari yang penuh keberkatan dan keriangan bagi umat Islam selepas berjaya menempuhi dan mentaati kefardhuan berpuasa di bulan Ramadan.

Selain menghubungkan silaturahim, budaya bersalaman dan bermaafan turut menjadi amalan dalam meraikan hari mulia ini.

Namun, bagi umat Islam perayaan ini wajib dijalani dengan pemahaman dan pematuhan terhadap batasan pergaulan yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Hari Raya Aidilfitri perlu diraikan mengikut batasan syariat agar mendapat pandangan dan rahmat daripada Allah SWT.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, dalam Islam, persentuhan atau bersalaman antara individu hanya dibenarkan bagi mereka yang mempunyai hubungan mahram.

“Mahram merujuk kepada individu yang haram dikahwini seperti ibu bapa, datuk dan nenek, adik-beradik, anak-anak, ibu atau bapa saudara sebelah ibu dan bapa serta cucu.

“Bersalaman dengan mereka bukan sahaja dibolehkan malah dituntut sebagai tanda kasih sayang dan saling hormat-menghormati,” ujar Ustazah Amienah ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Ustazah Amienah Ridzwan

Menurut beliau, bagi wanita, mahram yang boleh disalam terdiri daripada suami, bapa dan datuk (sebelah ibu atau bapa), anak lelaki dan cucu lelaki, adik-beradik lelaki (kandung, sebapa atau seibu), bapa saudara (adik-beradik bapa atau ibu), anak saudara lelaki (anak kepada adik-beradik kandung, sebapa atau seibu) dan menantu.

“Selain daripada yang dinyatakan di atas, haram untuk mereka bersalaman kerana boleh menimbulkan fitnah serta melanggar batasan syariat,” jelas beliau.

Sementara itu, tambah beliau, bagi lelaki pula, mahram yang boleh disalam adalah ibu dan nenek (sebelah ibu atau bapa), isteri, anak perempuan dan cucu perempuan, adik-beradik perempuan (kandung, sebapa atau seibu), ibu saudara (adik-beradik bapa atau ibu), anak saudara perempuan (anak kepada adik-beradik kandung, sebapa atau seibu) dan menantu.

“Selain daripada itu, tidak dibenarkan untuk orang lelaki bersalaman dengannya. Sebagai alternatif, cukup sekadar memberi salam dengan ucapan dan senyuman tanpa perlu bersentuhan,” tegasnya lagi.

Poster menunjukkan siapa yang tidak boleh disalam oleh golongan wanita.

Ustazah Amienah turut membawakan sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani dan Al-Baihaqi)

“Hadis ini jelas menunjukkan larangan buat umat Islam daripada bersentuhan dengan individu yang bukan mahram dan menjaga batas pergaulan yang telah ditetapkan syariat,” ujarnya.

Dalam hubungan suami isteri pula, Ustazah Amienah menegaskan bahawa bersalaman sesama mereka merupakan satu bentuk kasih sayang yang dianjurkan dalam Islam.

“Walaupun apabila suami isteri bersalaman akan membatalkan wuduk, namun dalam aspek di luar ibadat, ia boleh melahirkan rasa syukur dan kebersamaan dalam rumah tangga sekali gus menambah keberkatan.

“Satu perkara lagi, tidak menjadi kesalahan bagi lelaki dan wanita dewasa bersalaman dengan kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan selagi mereka belum mencapai usia baligh.

Poster panduan mengenai siapa yang tidak boleh disalam oleh golongan lelaki.

“Ini kerana mereka masih dianggap belum mukallaf (bertanggungjawab terhadap hukum syarak). Namun, apabila sudah cukup umur (baligh), maka batas pergaulan perlu dijaga sebaiknya,” jelas Ustazah Amienah.

Tambah beliau, dalam situasi apabila bersalaman dengan orang tua yang bukan mahram, sebahagian ulama membolehkan perkara itu.

“Jika terdapat keperluan tertentu contohnya menghormati golongan warga emas, bersalaman dengan mereka adalah dibenarkan.

“Namun, adalah lebih baik ia dielakkan jika tidak ada keperluan mendesak dan cukup dengan memberi salam atau meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat,” tegas Ustazah Amienah lagi.

“Sewajarnya penutup bulan tarbiyah ini, menjadikan kita semakin menuju kepada kebaikan dan tidak mengembalikan keburukan akhlak lama yang kita tinggalkan sebelum masuknya Ramadan.

“Semoga cara kita merayakan Aidilfitri ini tidak mengundang murka Allah dan usaha kita menjaga batasan syariat di hari mulia ini menjadi asbab kita beroleh rahmat dan redha Allah SWT di dunia dan akhirat,” nasihatnya.

Dalam mengeratkan silaturahim di musim perayaan, pastikan ia disambut dalam konteks patuh syariah.

Tips Mengelak Bersalaman

Terdapat banyak cara untuk menghindari bersalaman dengan bukan mahram secara sopan. Antaranya ialah:

1. Bersikap tegas dan jelas
Ketika bertemu dengan bukan mahram, beritahu dengan sopan bahawa anda tidak ingin bersalaman.

2. Gunakan isyarat non-verbal
Tunjukkan sikap yang tidak bersedia untuk bersalaman, seperti menjauhkan tangan atau mengalihkan perhatian.
Anda juga boleh gunakan isyarat seperti meletak tangan di dada atau rapatkan tangan sebagai tanda hormat.

3. Bersikap ramah tanpa sentuhan
Anda masih dapat menunjukkan keramahan melalui senyuman atau ucapan selamat tanpa perlu melakukan sentuhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button