AGAMARENCANA

Mualaf 81 tahun tekad puasa penuh sepanjang Ramadan

Oleh AMIR SARIFUDIN

GEORGE TOWN – Walaupun baru hanya dua bulan memeluk Islam, seorang wanita mualaf berusia 81 tahun bertekad untuk berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

Bagi Ong Poh Choo, peluang menjalani ibadah puasa Ramadan buat pertama kali dalam hidupnya setelah bergelar Islam, amat dinanti-nantikan.

Menurutnya, ketika mula berpuasa pada 1 Ramadan lalu, dia tidak menghadapi banyak masalah, malah berasa selesa dan gembira kerana dapat menjaga kesihatan tubuh badan.

“Apabila tengok rakan-rakan mualaf lain berpuasa, ia memberi semangat untuk saya terus berpuasa.

“Walaupun pada hari pertama berpuasa agak lapar dan dahaga, saya teruskan juga kerana ini adalah pengalaman pertama dalam hidup saya.

“Hingga hari ini saya bersyukur kerana dapat berpuasa penuh setiap hari,” katanya dalam majlis meraikan golongan mualaf di sini.

Poh Choo merupakan antara 20 mualaf yang diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh pertubuhan sukarela, Dakwah Belantara di sini.

Dakwah Belantara merupakan pertubuhan yang menyantuni dan memberi bantuan kepada golongan mualaf selain penduduk Orang Asli di beberapa kawasan pedalaman di Semenanjung.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dakwah Belantara, Mohd. Shah Farin Wahaiyan memberitahu, pihaknya sejak awal Ramadan telah merancang untuk meraikan golongan mualaf di negeri ini.

“Pada Ramadan tahun lalu, kami turut meraikan golonngan mualaf. Melalui gabungan ahli-ahli dalam Dakwah Belantara, kami dapat mengumpul sedikit dana bagi mengurangkan beban golongan mualaf untuk mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.

Dalam majlis yang sama, seorang lelaki, Bok Tuck Keong, 50, memeluk Islam di bawah program anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).

Tuck Keong mengucapkan dua kalimah syahadah dengan dipimpin Pengetua Sekolah Menengah Agama Faqiah Daimiah yang berpusat di Permatang Pauh, Nor Hisyam Mahmud sambil disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim.

Bok Tuck Keong (duduk, kanan) mengucapkan syahadah yang dipimpin oleh Nor Hisyam Mahmuds (duduk, kiri) sambil diperhatikan Mohd. Shah Farin Wahaiyan (berdiri, kanan) dan Zolkifly Md. Lazim (berdiri, kiri) di George Town, Pulau Pinang.

Menurut Tuck Keong, dia memilih Islam kerana mendapati ramai rakan-rakan mualaf lain menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

“Saya pernah berumah tangga selama empat tahun dan telah berpisah sejak dua tahun lalu.

“Saya tertarik dengan Islam semasa bekerja di sebuah pasar. Di situ ada seorang rakan Islam yang baik orangnya kerana suka menolong orang lain hinggakan kini saya tertarik untuk mengucapkan syahadah,” katanya.

Mohd. Shah Farin wahaiyan (kiri) meraikan kalangan mualaf mengambil juadah berbuka puasa di George Town, Pulau Pinang.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button