AGAMABERITA SEMASALUAR NEGARA

‘Lipan Bara’ wira tanpa nama di tanah suci

MEKAH – Di sebalik kesibukan manusia yang membanjiri Kota Mekah setiap kali musim haji, sebuah skuad khas menjadi penyelamat kepada jemaah yang tersesat, Lipan Bara, skuad bantuan kendalian Lembaga Tabung Haji (TH) yang beroperasi tanpa henti, siang dan malam.

Menurut Ketua Unit Lipan Bara, Khairul Anuar Ramli, skuad itu diwujudkan sebagai usaha pantas dan cekap menangani kes jemaah yang tersesat, terutamanya dalam kalangan warga emas.

“Kami bukan sahaja menjejak jemaah yang hilang, tetapi juga menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan. Salah satu insiden yang sukar dilupakan adalah apabila seorang jemaah ditinggalkan di tengah jalan selepas membayar kepada sindiket kerusi roda.

“Jemaah itu percaya mereka akan dihantar pulang ke penginapan, tetapi selepas ditolak ke satu lokasi, individu terbabit melarikan diri. Kami terpaksa campur tangan segera untuk membawa jemaah tersebut kembali ke maktab,” katanya.

Pengurus Khidmat Pelanggan TH, Zaini Rashid berkata, skuad itu terdiri daripada 15 anggota polis bantuan yang dibahagi kepada dua kumpulan dan ditempatkan di lokasi berisiko tinggi seperti kawasan Marwah.

“Lipan Bara adalah lanjutan daripada cabang Khidmat Pelanggan Tabung Haji. Kami mahu pastikan kehadiran mereka sentiasa kelihatan oleh jemaah, apatah lagi mereka mudah dikenali dengan topi merah dan vest hitam.

“Buat pertama kali musim ini, anggota Lipan Bara dibekalkan kain ihram sebagai persediaan untuk menangani kes kecemasan yang berlaku di dataran Kaabah.

“Kami mahu mereka bersedia secara fizikal dan syarie sekiranya perlu mengusung atau menyelamatkan jemaah yang rebah atau jatuh sakit ketika dalam ihram,” ujarnya.

Menurut Aqwa Hirzi Ahmad Norhisham, cabaran sebagai anggota Lipan Bara bukan sahaja melibatkan cuaca panas, tetapi juga emosi jemaah yang cemas, letih dan keliru dengan persekitaran.

“Ini kali pertama saya sertai skuad ini dan saya benar-benar belajar erti sabar. Bayangkan bekerja dalam suhu mencecah 45 darjah Celsius, dengan keadaan sesak dan memerlukan tumpuan penuh.

“Kami bukan sahaja bantu dari segi fizikal, tapi juga menenangkan emosi mereka. Kadang-kadang mereka hanya perlukan seseorang untuk dengar cerita mereka,” tambah beliau.

Walau tidak berpakaian seragam seperti polis atau tentera, anggota Lipan Bara memainkan peranan besar sebagai pelindung dan pembantu jemaah Malaysia di bumi barakah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button