AGAMARENCANA

Lebih 50 tunai zakat kali pertama melalui program ‘Satu Syahadah, Seribu Ukhuwah’

Oleh AMIR SARIFUDIN

PERMATANG PAUH – Lebih 50 orang mualaf menunaikan zakat fitrah buat kali pertama dalam satu majlis di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah di sini, baru-baru ini.

Sebahagian besar daripada mereka adalah saudara baharu yang memeluk Islam pada tahun lalu dan tahun ini.

Majlis di bawah program ‘Satu Syahadah, Seribu Ukhuwah’ itu adalah anjuran bersama Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bertam dan Jawatankuasa Masjid At-Taqwa.

Selain menunaikan zakat fitrah, kumpulan mualaf berkenaan turut diberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan hasil tajaan pengurusuan Masjid At-Taqwa, IKUT dan dari beberapa individu.

Urusan bayaran zakat fitrah di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

 

Program tersebut juga menyaksikan seorang lelaki, Choo Kung Huat, 59, yang tinggal sebatang kara mengucapkan syahadah yang dipimpin oleh Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang (Kampus Bertam), Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd. Noor.

Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, pada awalnya program berkenaan hanya tertumpu untuk meraikan golongan mualaf berbuka puasa.

“Namun, setelah diuar-uarkan, banyak pihak hendak membantu serta menghulurkan bantuan terutama pihak Masjid At-Taqwa, selain ada yang hendak peluk Islam.

“Kalangan mualaf ini teruja untuk menunaikan zakat fitrah kerana ia merupakan pengalaman pertama dalam hidup mereka. Ada sebahagian mereka yang peluk Islam sejak tahun lalu dan juga tahun ini.

“Mereka juga merasakan amat dihargai selain kagum apabila diraikan oleh kariah masjid,” katanya.

CHOO KUNG HUAT (tengah) mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin Mohamad Azhar Mohd. Noor (kiri) dan disaksikan Zolkifly Md. Lazim di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Sementara itu, Kung Huat berkata, perasaannya tenang selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sebelum bersyahadah, Kuang Huat diberikan penerangan oleh rakan mualafnya dalam bahasa Hokkien mengenai tujuan bersyahadah termasuk Rukun Islam dan Rukun Iman.

“Saya gembira apabila diraikan bukan sahaja oleh rakan-rakan mualaf, malah oleh orang-orang masjid di sini.

“Kini saya tinggal dengan seorang rakan mualaf, menyewa sebuah bilik.

“Hidup ini perlu diteruskan dan saya berharap dapat pekerjaan yang sesuai,” katanya yang pernah bekerja sebagai pengawal keselematan.

Sebahagian mualaf yang membayar zakat fitrah dan menerima sumbangan dalam program ‘Satu Syahadah, Seribu Ukhuwah’ bergambar di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button