Lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung
KUALA LUMPUR — Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Aripin@Ariffin Jawah@Ab Halim dari kumpulan KT058, Maktab 90A meninggal dunia di Makkah pagi tadi akibat serangan jantung.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar melalui satu hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang berasal dari Tawau, Sabah.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.30 pagi waktu Makkah, 20 Mei 2025 di Rehab Al-Janadiriyyah, Makkah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Allahyarham ditemani isterinya, Norasiah Imam Isnin sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji.
“Pemergian ini adalah satu kehilangan besar, namun kita yakin Allahyarham dipanggil dalam keadaan yang sangat mulia sebagai tetamu Allah di Tanah Suci-Nya.
“Insya-Allah, pihak Tabung Haji akan menyempurnakan segala urusan termasuk pengurusan jenazah dan pelaksanaan badal haji bagi pihak Allahyarham,” tambah beliau.
BACA : Meninggal dunia ketika tawaf sunat, jemaah haji Malaysia dalam keadaan ‘cantik’
Mohd Na’im juga mendoakan agar isteri Allahyarham serta seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian itu.
“Al-Fatihah buat roh Allahyarham. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya lagi.
Terdahulu, dua jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia pada hari Jumaat dan semalam akibat serangan jantung ketika berada di Masjidil Haram.
Kematian Aripin@Ariffin menjadikan jemaah haji negara yang meninggal dunia di Makkah setakat ini seramai tiga orang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








