
BULAN Ramadan sering dikaitkan dengan keberkatan dan kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa bersama keluarga.
Namun, bagi sesetengah ibu bapa, Ramadan boleh menjadi saat yang penuh dengan kesedihan apabila diuji dengan kehilangan anak tercinta dalam tragedi atau kemalangan.

Berdepan situasi ini, Islam sebenarnya telah memberikan panduan yang jelas dalam menguruskan emosi dan menghadapi ujian dengan penuh kesabaran dan redha dengan segala takdir-Nya.
Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, perasaan sedih dan tangisan akibat kehilangan insan tersayang adalah fitrah yang dikurniakan Allah SWT buat manusia.
“Kasih sayang yang mendalam terhadap anak-anak menjadikan ibu bapa berasa kehilangan yang amat perit. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menangis ketika anakanda Baginda, Ibrahim wafat.
“Walaupun bersedih itu dibenarkan, Islam menekankan kepentingan sabar dan redha terhadap ketentuan Ilahi. Kesabaran ini akan memberikan ketenangan dan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT,” kata Dr. Khairunneezam kepada Malaysia Tribune.

Beliau turut membawakan terjemahan Surah Al-Baqarah, ayat 155-156 yang menegaskan bahawa Allah akan menguji manusia dengan pelbagai musibah termasuk kehilangan orang tersayang.
Namun, bagi mereka yang sabar dan mengucapkan, “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali,” maka Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar.
“Justeru, jika umat Islam berpegang teguh kepada janji Allah ini, ia mampu menguatkan hati ibu bapa yang teruji dengan kehilangan anak terutama pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Selain bersabar, ibu bapa juga boleh mengamalkan amalan seperti mendoakan anak-anak yang telah pergi dan menyedekahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka.
“Perbuatan ini bukan sahaja memberikan ketenangan jiwa, malah menjadi tanda kasih sayang yang berterusan walaupun anak telah tiada,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Khairunneezam menegaskan bahawa Islam menjanjikan ganjaran besar bagi ibu bapa yang bersabar dan redha di atas kehilangan anak mereka.
Kesabaran dalam menghadapi ujian sebesar itu akan diganjari dengan tempat di syurga dan keampunan daripada Allah.
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku?’ Mereka menjawab, ‘Ya.’
Lalu Allah bertanya, ‘Apa yang hamba-Ku katakan?’ Mereka menjawab, ‘Dia memuji-Mu dan mengucapkan: ‘Sesungguhnya daripada Dia kami datang dan kepada-Nya kami akan kembali’.
Maka Allah berfirman: “Binalah untuknya sebuah rumah di syurga dan namakan ia Baitul Hamd (Rumah Pujian).” (Hadis Riwayat Tirmizi)
“Hadis ini menunjukkan bahawa ibu bapa yang bersabar dengan ujian kematian anak-anak akan mendapat penghormatan istimewa di syurga. Selain itu, anak-anak yang meninggal dunia sebelum akil baligh juga akan menjadi syafaat bagi ibu bapa mereka pada Hari Kiamat.
“Maka, jelaslah kesabaran dan redha adalah kunci kepada ketenangan dan kelak meraih ganjaran besar di akhirat,” katanya lagi.
Tambahnya, ketika menghadapi ujian, ibu bapa juga perlu memastikan bahawa kesedihan yang dialami tidak menghalang mereka daripada menjalankan ibadah dengan sempurna.
“Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keampunan dan rahmat, maka adalah penting untuk kita tetap berusaha mendekatkan diri kepada Allah.
“Rasulullah SAW turut menegur perbuatan meratap keterlaluan dan mengingatkan bahawa kesedihan tidak seharusnya membawa kepada kelalaian dalam beribadah,” pesannya.
Apa yang pasti, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan kepada ibu bapa yang kehilangan anak.
Ini kerana Islam sendiri menggalakkan sifat ihsan dan empati terutama dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Oleh itu, menziarahi keluarga yang berduka, memberikan kata-kata semangat atau membantu dalam keperluan harian mereka adalah antara bentuk sokongan yang boleh kita berikan kepada mereka yang teruji.
“Malah, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa orang beriman harus bersikap seperti satu tubuh; apabila satu bahagian sakit, seluruhnya turut merasai kesakitannya.
“Sokongan moral dan spiritual daripada keluarga dan rakan-rakan sangat membantu dalam mengurangkan beban emosi ibu bapa yang berduka,” ungkapnya.
Mengulas lanjut, beliau berkongsi bahawa Islam mengajarkan bahawa setiap ujian mempunyai hikmah tersendiri.
“Kehilangan anak boleh menjadi satu peringatan tentang kehidupan di dunia yang sementara dan keperluan untuk bersiap sedia menghadapi akhirat.
“Lantaran itu, mengubah kesedihan kepada satu bentuk ibadah juga merupakan cara terbaik untuk menghadapi kehilangan.

“Walaupun anak telah tiada, ibu bapa masih boleh terus berbakti kepada mereka dengan melakukan amal kebajikan seperti bersedekah, membantu golongan miskin atau menyumbang kepada pembinaan masjid atas nama anak mereka,” tegas beliau lagi.
Akhir sekali, Dr. Khairunneezam menekankan bahawa Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT, bukan untuk terjerumus dalam kesedihan yang berpanjangan.
“Ibu bapa yang kehilangan anak harus menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk mencari ketenangan dan kekuatan spiritual.
“Dengan memahami bahawa setiap ujian mempunyai hikmah dan ganjaran yang besar, mereka dapat menjalani Ramadan dengan lebih tabah dan berlapang dada,” katanya menutup bicara.
Semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada semua ibu bapa yang diuji dengan kehilangan anak serta menggantikan kesedihan mereka dengan kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti. Amin, Insya-Allah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |