
Jom sedekah: Infak dana jubin madrasah Sekolah Tinggi Islam As Sofa
DIBINA sejak tahun 2007, Madrasah Hasaniah Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan telah banyak diimarahkan dengan pelbagai majlis ilmu.
Di sini juga menjadi tempat anak-anak pelajar melaksanakan solat jemaah, membaca dan menghafaz al-Quran, menghadiri majlis zikir selain penganjuran hari-hari kebesaran Islam.

Malah, madrasah ini turut menyaksikan kehadiran ratusan ulama dalam pelbagai program anjuran Yayasan Sofa.
Kini, selepas beberapa tahun, pihak pengurusan sedang melakukan proses penyelenggaraan dan baik pulih jubin koridor Madrasah Hasaniah.
Mudir STIAS, Ustaz Muhammad Hydhir Abdul Rahim berkata, pihaknya telah memulakan projek tersebut dengan modal pendahuluan sebanyak RM40,000.

“Alhamdulillah, jumlah itu diperoleh hasil sumbangan orang ramai, ibu bapa pelajar serta bayaran zakat melalui Lembaga Zakat Selangor.
“Namun begitu, pihak kami masih memerlukan sumbangan baki bayaran projek tersebut berjumlah RM30,000 lagi. Justeru, saya dengan penuh rasa rendah diri memohon bantuan khalayak dan umat Islam di luar sana untuk berinfak membantu kami.
“Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi asbab kebaikan dan dilipatgandakan pahala dan rezeki oleh Allah SWT,” kata Ustaz Muhammad Hydhir kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, selepas ini mereka juga akan menyiapkan pula projek seterusnya iaitu pemasangan karpet baru dan penyelenggaraan mihrab Madrasah Hasaniah sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.
“Persiapan ini adalah tanda kita meraikan kedatangan madrasah Ramadan yang pasti ditunggu-tunggu oleh umat Islam yang sentiasa merindui bulan penuh barakah itu,” ujarnya.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Hadid, ayat 18 yang bermaksud: “Sesungguhnya, orang-orang yang bersedekah, baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, pasti akan dilipatgandakan (pahala) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang mulia.”

Jom sama-sama kita membantu dengan apa yang termampu. Kecil atau besar nilai sumbangan bukan ukuran, tetapi keikhlasan kita dalam melakukan kebaikan yang dipandang Tuhan.
Bagi mereka yang mahu menyumbang, boleh salurkan di akaun CIMB Kelab Muhibbin 8602075381.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Ustaz Muhammad Hydhir di talian 011-20784566.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |