AGAMARENCANA

Jangan salah guna al-Quran dalam amalan metafizik

Pendekatan seperti ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kitab suci umat Islam yang sepatutnya menjadi panduan hidup sejagat tetapi dijadikan sebagai alat tilikan dan ramalan nasib seumpama amalan astrologi atau nujum moden

DALAM dunia moden yang sarat dengan pelbagai bentuk pencarian makna hidup dan keseimbangan rohani, semakin ramai individu mula mencari alternatif dalam memahami diri dan kehidupan mereka.

Fenomena ini turut melahirkan pelbagai bentuk amalan kerohanian yang menggabungkan unsur metafizik, motivasi diri dan elemen agama termasuklah Islam.

Antara yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat ialah kepercayaan bahawa tarikh lahir seseorang boleh menentukan ‘potensi diri’, ‘karakter peribadi’ atau terdapat bacaan khusus daripada al-Quran yang kononnya paling sesuai dengan individu tersebut.

Mengaitkan tarikh lahir dengan potensi diri yang disesuaikan dengan pembacaan juzuk tertentu dalam al-Quran satu amalan yang dilarang agama.

Lebih membimbangkan, sesetengah pihak mempromosikan amalan ini dengan hujah bahawa ia berasaskan ‘energi spiritual’ atau ‘frekuensi diri’ yang kononnya dapat diselaraskan melalui juzuk tertentu dalam al-Quran.

Tanpa disedari, pendekatan seperti ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kitab suci umat Islam yang sepatutnya menjadi panduan hidup sejagat tetapi dijadikan sebagai alat tilikan dan ramalan nasib seumpama amalan astrologi atau nujum moden.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa mendatangi tukang tilik lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Al-Hakim)

Bagi meluruskan kekeliruan itu, Pensyarah Kanan Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Yuseri Ahmad tampil memberi pencerahan berhubung salah faham yang kian merebak ini.

Dalam satu penjelasan yang padat, beliau menyentuh aspek syirik moden, hukum mengaitkan tarikh lahir dengan juzuk al-Quran serta menasihati masyarakat agar kembali memahami al-Quran dalam konteks yang benar menurut ajaran Islam.

Ustaz Yuseri Ahmad

Syirik moden: Bila keyakinan terpesong

Menurut Ustaz Yuseri, syirik secara umum membawa maksud mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

“Dalam istilah yang lebih mudah, ia bermaksud meletakkan kepercayaan bahawa ada kuasa selain Allah SWT yang mampu menentukan nasib, memberi manfaat atau mudarat serta mengetahui perkara ghaib.

“Contohnya, jika seseorang meyakini bahawa rawatan moden di hospital sahajalah yang menyembuhkan penyakitnya dan tanpa rawatan tersebut dia pasti tidak akan sembuh, maka keyakinan itu berisiko tergelincir kepada syirik.

“Ini kerana dia telah meletakkan kuasa penyembuhan sepenuhnya kepada rawatan itu, bukan kepada Allah SWT,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.

Selain itu, mempercayai seseorang mampu mengetahui perkara ghaib juga termasuk dalam bentuk syirik, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

Kepercayaan kepada tarikh lahir: Ajaran yang ditolak Islam

Mengulas tentang amalan mengaitkan potensi diri atau karakter seseorang berdasarkan tarikh lahir, Ustaz Yuseri menegaskan bahawa tiada asas dalam ajaran Islam yang menyokong kepercayaan sedemikian.

Islam menolak apa jua bentuk tilikan yang cuba meramalkan untung nasib atau keperibadian berdasarkan perkara ghaib atau tidak rasional seperti tarikh lahir, tapak tangan atau kad. – Gambar hiasan

“Kepercayaan ini tidak ubah seperti amalan tukang tenung nasib. Ia satu bentuk ramalan yang menyerupai perbuatan ahli nujum dan Rasulullah SAW melarang keras perbuatan seperti ini.

“Malah, Islam menolak apa jua bentuk tilikan yang cuba meramalkan untung nasib atau keperibadian berdasarkan perkara ghaib atau tidak rasional seperti tarikh lahir,” tegasnya.

Bacaan juzuk al-Quran berdasarkan tarikh lahir: Amalan tanpa dalil

Ustaz Yuseri turut mengulas isu yang semakin popular iaitu mengaitkan satu juzuk tertentu dalam al-Qur’an dengan tarikh lahir seseorang sebagai amalan harian.

Beliau menjelaskan walaupun tiada larangan untuk membaca mana-mana ayat atau juzuk dalam al-Quran, namun apabila seseorang mula meyakini bahawa juzuk tertentu mempunyai kaitan khusus dengan dirinya berdasarkan tarikh lahir, maka amalan itu menjadi tidak bertepatan dengan tujuan asal penurunan al-Quran.

Al-Quran adalah kitab suci yang perlu diamalkan dan dibaca setiap hari sebagai panduan dalam kehidupan.

“Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup bagi semua manusia secara umum, bukan untuk disesuaikan dengan individu berdasarkan faktor metafizik.

“Perbuatan ini juga hampir sama seperti isu melakukan istikharah dengan membuka al-Quran secara rawak yang mana tidak terdapat nas sahih yang menyebut tentangnya.

“Bahkan sekiranya ia digunakan sebagai kepercayaan untuk menilik terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan maka ia adalah haram dan menyerupai perbuatan ahli sihir dan penilik nasib,” tegasnya.

Bidaah yang mesti dijauhi

Menurut Ustaz Yuseri, meskipun amalan mengaitkan tarikh lahir dengan bacaan al-Quran tidak sampai ke tahap syirik, ia tetap boleh dikategorikan sebagai bidaah kerana tiada dalil sahih yang menjadi sandarannya.

BACA : Nuzul Quran & Lailatul Qadar, dua malam dengan keistimewaan berbeza

“Lebih-lebih lagi jika ia dikaitkan dengan kepercayaan terhadap ‘frekuensi diri’ atau ‘energi spiritual’ yang datang daripada kaedah kiraan metafizik.

“Amalan seperti ini tidak berasal daripada ajaran Islam yang sahih. Maka ia termasuk dalam perkara bidaah yang perlu dijauhi,” katanya.

Kembali kepada tauhid yang murni

Sebagai penutup, Ustaz Yuseri mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dengan amalan-amalan yang bersifat kabur dan tidak mempunyai asas dalam syariat.

Beliau menyeru agar umat Islam kembali kepada tauhid yang murni dan memahami bahawa untung nasib seseorang adalah ketentuan Allah SWT, bukan bergantung kepada tarikh lahir atau formula metafizik tertentu.

Elakkan diri daripada terjerumus dalam perkara mampu menggelincirkan iman seperti tawaran sebegini.

“Islam mengajar kita bahawa baik buruk kehidupan seseorang adalah atas ketentuan Allah dan ianya berkait rapat dengan usaha dan pilihan individu itu sendiri.

“Ia bukan berdasarkan sesuatu yang dia tidak mampu pilih seperti tarikh lahir,” jelas beliau.

Sebelum menutup bicara, Ustaz Yuseri mengajak umat Islam untuk terus mendekatkan diri kepada al-Quran dengan kefahaman, keikhlasan dan niat untuk mencari keredaan Allah, bukan sebagai alat untuk mencari ‘keistimewaan tersembunyi’ atau tilikan masa depan yang tidak pernah dijanjikan dalam agama.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa mempersekutukan-Nya (syirik) dan Dia mengampuni dosa selain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” [Surah An-Nisa’, ayat 48]

Semoga kita terhindar daripada perkara syirik yang terang mahupun tersembunyi dan fitnah akhir zaman yang mampu menggugat keimanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button