JAIPk diarah beri penjelasan kursus lawatan rumah ibadat bukan Islam
IPOH – Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi penjelasan berhubung kursus melibatkan lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.
Pejabat Menteri Besar Perak berkata, pihaknya mengambil maklum isu terbabit yang boleh dianggap bakal menimbulkan kekeliruan serta salah anggap orang ramai.
“Dengan ini ditegaskan, kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah Pejabat Menteri Besar Perak, pihaknya telah memanggil satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu itu.
Hasil daripada mesyuarat berkenaan, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar JAIPk mengkaji semula modul kursus berkenaan.
“Ini bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam,” katanya.
Selain itu, JAIPk turut diminta mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang, serta berunding agar modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai dapat digunakan.
Terdahulu, tular sebuah klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil, menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.
Dalam video tersebut, salah seorang peserta turut berkongsi pendapatnya bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






