
JAINJ tahan sembilan individu hadiri pesta minum arak, parti buih
JOHOR BAHRU – Sembilan individu beragama Islam ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di Taman Perling di sini, kerana terlibat dalam pesta minum arak dan parti buih sempena sambutan tahun baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata, pemeriksaan yang dijalankan antara jam 11 malam hingga 3 pagi itu dilakukan di sebuah kafe di hotel berkenaan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.
“Pemeriksaan mendapati hotel itu menyediakan ruang untuk menganjurkan pesta minum arak dan parti buih.
“Seramai 29 individu beragama Islam diperiksa terdiri daripada pekerja dan pengunjung dalam premis berkenaan.
“Sembilan daripadanya terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita, termasuk empat warga Indonesia didapati positif alkohol ,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 19(1)(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor (EKJSNJ) 1997 dibuka kerana minum minuman yang memabukkan.
“Enam daripada mereka akan dihadapkan ke mahkamah, manakala tiga lagi dilepaskan dengan jaminan,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata, operasi di daerah lain menyaksikan 12 individu ditahan dengan masing-masing dua orang di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat, manakala enam lagi ditahan di Kulai.
Jelasnya, mereka ditahan atas kesalahan khalwat dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 27(1)(2) EKJSNJ 1997.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |