AgamaPolitik

Isu Zakir Naik: AMK Perlis sokong Mufti, tegur campur tangan ahli politik

KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyatakan sokongan penuh terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA).dalam mempertahankan ruang dakwah Islam di negara ini, susulan kontroversi kehadiran penceramah Dr. Zakir Naik ke negeri itu baru-baru ini.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, selagi Zakir Naik tidak melanggar undang-undang Malaysia beliau tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada keharmonian negara.

Gambar hiasan.

“Kami percaya bahawa setiap pandangan harus disampaikan dengan adab dan kebijaksanaan, terutama dalam isu yang menyentuh sensitiviti agama.

“Selagi Dr. Zakir Naik tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia, kami tidak melihat beliau sebagai satu ancaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

AMK Perlis turut membidas campur tangan ahli politik dalam isu agama, merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mempersoalkan kehadiran Zakir Naik dalam program di Perlis.

Menurut Azzin, ahli politik perlu menghormati peranan institusi agama negeri dalam mendidik masyarakat dan tidak menjadikan isu keagamaan sebagai bahan politik.

“Kami menyeru agar semua pihak, termasuk ahli politik untuk terus menghormati peranan institusi agama negeri dalam mendidik masyarakat dan tidak mencampuri urusan institusi itu.

“Kami juga percaya bahawa perbezaan pendapat boleh dibincangkan secara intelektual dan beradab tanpa menimbulkan kegusaran awam,” katanya lagi.

Kehadiran Zakir Naik di Malaysia terus menjadi isu sensitif, dengan pihak tertentu mendakwa penceramah itu berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Azzin turut berkata, negara ini berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan perbincangan mengenai aktiviti keagamaan harus dilakukan dengan penuh hikmah.

“Kami berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan kestabilan sosial serta membudayakan dialog yang matang dalam membincangkan isu-isu penting negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button