AgamaBerita Semasa

Isu kuil Hindu: Dr. Maza sokong pendirian tegas PM Anwar

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Menurut Dr. Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza, pendirian Perdana Menteri adalah sesuatu yang sangat dinantikan dan majoriti rakyat juga berasa lega dengan kenyataan tersebut.

Dr. Maza berkata, pendirian dan kenyataan yang dibuat oleh Anwar itu juga belum pernah disuarakan oleh kebanyakan pemimpin sebelum ini.

“Ia bukan soal menyebelahi sesiapa, tetapi isu ‘rule of law‘ dan cara tidak bertamadun dan rimba yang mengambil tanah pihak lain sesuka hati atas nama tempat ibadah hendaklah dihentikan.

“Bahkan tanah-tanah kerajaan dan persendirian yang begitu banyak diceroboh di seluruh negara hendaklah dikembalikan kepada empunya,” katanya dalam satu catatan di laman Facebook Dr MAZA Channel semalam.

Terdahulu, Anwar mengesahkan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Masjid India akan tetap diteruskan esok, walaupun mendapat tentangan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Tegas Perdana Menteri lagi, Malaysia adalah negara yang mengamalkan undang-undang dan setiap tindakan yamg diambil harus berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan.

Justeru itu, katanya, tidak semua kuil yang tidak memiliki permit tanah perlu diberikan tanah ganti, memandangkan terdapat banyak kuil yang tidak mempunyai permit di seluruh negara.

Semalam, pihak pengurusan sebuah kuil yang mencetuskan kontroversi susulan rancangan penempatan semula dilaporkan bersetuju untuk berpindah ke lokasi berhampiran.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, rakyat berhak bersuara dan menuntut jika ia melibatkan tanah kerajaan, sebaliknya jika ia tanah individu atau syarikat, mereka berhak merobohkannya.

“Bukan itu sahaja, penceroboh juga hendaklah dikenakan tindakan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button