
Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & DR. SURIA HANI ABD. RAHMAN
SETIAP kali tibanya Zulhijjah, umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
Dalam kegembiraan menyambut hari raya kedua terpenting dalam Islam ini, ibadah korban menjadi satu ibadah yang bukan sekadar simbolik penyembelihan haiwan, tetapi merupakan satu bentuk pendidikan spiritual yang mendalam.
Ibadah korban membuka ruang untuk menyemai nilai-nilai akhlak dan keimanan yang kukuh khususnya kepada anak-anak.
Ibadah korban secara hakikatnya adalah perintah Allah SWT yang mengandungi unsur ketaatan, pengorbanan dan ketundukan kepada-Nya.
Dalam surah al-Saffat ayat 102, Allah SWT merakamkan detik yang penuh dengan pengajaran apabila Nabi Ibrahim AS berkata kepada anaknya, Nabi Ismail AS yang bermaksud:
“Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pandanganmu.”
Lantas anaknya menjawab dengan penuh ketakwaan dan keyakinan:
“Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, engkau akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar.”
Peristiwa agung ini bukan sahaja menunjukkan kepatuhan Nabi Ibrahim AS sebagai seorang ayah kepada perintah Allah SWT tetapi juga menggambarkan bagaimana anak-anak yang dididik dengan keimanan mampu memahami hakikat pengorbanan demi agama.
Justeru, Aidiladha menjadi waktu terbaik untuk ibu bapa menyampaikan mesej bahawa ibadah dalam Islam bukan sekadar ritual atau ikut-ikutan, tetapi ia adalah satu bentuk ujian dan latihan jiwa untuk menjadi insan yang kamil dan bertakwa.
Antara bentuk pengajaran yang boleh disampaikan kepada anak-anak menerusi ibadah korban ialah nilai ketaatan kepada Allah SWT.
Anak-anak harus difahamkan bahawa segala perintah Allah, walau kadang kala sukar difahami atau ditafsir oleh logik akal pemikiran, wajib dilaksanakan sebagai bukti keimanan.
Ini dapat dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam yang lebih dicintai oleh Allah pada hari raya korban selain daripada menyembelih haiwan korban.”
Ini jelas menunjukkan bahawa ibadah korban bukan sekadar tentang daging atau darah, tetapi tentang keikhlasan dan ketakwaan.
Dalam surah al-Hajj ayat 37 pula, Allah SWT menegaskan mafhum-Nya:
“Daging-daging dan darah korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu.”
Maka, kita perlu menanam kefahaman dalam kalangan anak-anak bahawa korban adalah lambang pengorbanan nafsu, keegoan dan keduniaan demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain itu, ibadah korban juga membuka peluang kepada anak-anak untuk memahami nilai kepentingan sosial dan kasih sayang terhadap sesama manusia.
Haiwan yang dikorbankan bukan sekadar untuk ahli keluarga, tetapi turut diagihkan kepada fakir miskin dan masyarakat sekeliling yang berhak ke atasnya.
Ini mengajar anak-anak tentang pentingnya berkongsi rezeki dan merasai denyut nadi kesusahan dan kesempitan hidup orang lain.
Ibadah ini mengasah kepekaan sosial anak-anak sejak kecil, menjadikan mereka insan yang prihatin dan penyayang.
Dari perspektif sirah, Nabi Muhammad SAW sendiri sangat menitikberatkan aspek penglibatan keluarga dalam ibadah korban.
Dalam hadis riwayat Tirmizi, disebutkan bahawa Rasulullah SAW menyembelih dua ekor kambing dan menyebut:
“Bismillah, Allahu Akbar, ini daripada Muhammad dan ahli keluarganya.”
Ini membuktikan bahawa ibadah korban adalah satu amalan keluarga yang seharusnya melibatkan anak-anak bukan sekadar menyaksikan, tetapi memahami dan menghayati maksudnya.
Penglibatan anak-anak dalam aktiviti korban seperti membantu membersihkan kawasan sembelihan, mengagihkan daging kepada jiran dan fakir miskin atau sekadar mendengar kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, akan meninggalkan kesan mendalam.
Ia menjadi satu bentuk pendidikan tidak formal yang membina akhlak, keikhlasan dan empati.
Lebih daripada itu, ibu bapa juga boleh menjadikan ibadah korban sebagai titik mula untuk berbicara tentang pengorbanan dalam kehidupan seharian.
Pengorbanan untuk belajar dengan tekun, untuk taat kepada ibu bapa, untuk menjauhi perkara mungkar, semuanya adalah bentuk korban yang memerlukan kekuatan jiwa yang seiring dengan semangat sambutan Aidiladha.
Justeru, Aidiladha bukan sekadar tentang daging korban atau baju baharu.
Ia adalah medan tarbiah yang sangat berharga jika dimanfaatkan dengan bijaksana.
Marilah kita sebagai ibu bapa dan pendidik menjadikan ibadah korban sebagai peluang untuk mendidik generasi akan datang dengan nilai-nilai murni yang berpaksikan al-Quran, sunnah dan kisah agung para Nabi dan Rasul.
Moga dengan itu, anak-anak kita membesar bukan sahaja sebagai insan yang cemerlang di dunia, tetapi juga sebagai hamba Allah yang bertakwa.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan merangkap Felo Bersekutu, Institut Sains Islam & Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |