
Hati-hati dengan ungkapan supaya Ramadan cepat berakhir
RAMADAN adalah bulan penuh keberkatan, rahmat dan keampunan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ia merupakan kesempatan istimewa untuk meningkatkan amal ibadah, memperoleh keampunan Allah SWT, serta memperbaiki diri dengan mendekatkan hati kepada-Nya.
Namun, apabila Syawal semakin menghampiri, tanpa sedar ramai yang mungkin mengungkapkan agar bulan rahmat itu segera berlalu.

Ucapan sebegini, walaupun mungkin hanya sekadar gurauan, seharusnya dielakkan kerana ia boleh membawa implikasi besar kepada keimanan seseorang individu Muslim.
Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin, menegaskan agar masyarakat menghindari daripada menulis atau mengucapkan sebarang ungkapan yang menunjukkan keinginan supaya Ramadan cepat berakhir.

Melalui satu hantaran di media sosial, beliau memetik pandangan ulama besar, Syeikh Muhammad ibn Abdullah al-Jurdani al-Syafi’i RA yang menaqalkan kata-kata Ibnu Hajar al-Haitami RA dalam kitab al-Jawahir al-Lu’luiyyah yang bermaksud: “Sesungguhnya berharap Ramadan segera berlalu adalah termasuk dalam dosa-dosa besar.”
“Menurut Al-Amir, jika ungkapan tersebut lahir daripada kebencian terhadap ibadah, ia boleh membawa kepada kekufuran kepada pelakunya. Moga Allah SWT jauhkan kita daripada perkara sebegini,” katanya.
Berbaki beberapa hari sahaja lagi, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa menjaga lisan dan hati daripada perasaan yang tidak sewajarnya terhadap bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

Sebaliknya, gunakanlah kesempatan masa yang ada untuk terus menghidupkan Ramadan dengan ibadah seperti membaca Al-Quran, keinsafan dan rasa syukur kepada Allah SWT di atas peluang yang diberikan sekali gus berusaha memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada-Nya.
Setiap detik dalam bulan ini merupakan anugerah yang tidak ternilai dan siapa tahu mungkin ia adalah Ramadan terakhir buat kita.
Oleh itu, marilah kita manfaatkan setiap saat yang berbaki di fasa akhir bulan Ramadan dengan pelbagai amalan kebaikan.
Moga madrasah Ramadan yang kita masuki tahun ini adalah yang terbaik dalam menjadikan kita hamba yang bertakwa di sisi Tuhan serta diterima segala amalan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |