AGAMARENCANA

Hari Arafah: Hari kemuliaan, penuh pengampunan

PADA 9 Zulhijjah saban tahun, umat Islam di seluruh dunia memperingati satu hari yang sangat agung dalam kalendar hijrah iaitu Hari Arafah.

Ia bukan sekadar hari kemuncak ibadah haji, tetapi merupakan hari yang dipenuhi kemuliaan, keampunan dan mustajab doa sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Pada Hari Arafah juga Allah membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka sebagai tanda kasih dan sayang Ar-Rahman.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, keagungan Hari Arafah telah disebut dalam Al-Quran dan hadis di mana Allah SWT bersumpah pada hari ini dalam surah Al-Fajr, ayat 1 dan 2 yang bermaksud:

“Demi fajar dan malam yang sepuluh …”

Menurut Dr. Muhammad Sufi, para ulama tafsir menyatakan bahawa ‘malam yang sepuluh’ itu merujuk kepada sepuluh awal Zulhijjah dan Hari Arafah merupakan kemuncaknya.

Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz

“Hari Arafah bukan sekadar hari untuk jemaah haji, tetapi sebenarnya adalah hari kurniaan Allah bagi setiap Muslim.

“Ia adalah hari istimewa yang membawa bersama peluang keampunan, ganjaran dan keberkatan yang luar biasa.

“Bagi kita di Malaysia yang tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji, jadikan hari ini sebagai medan untuk menyucikan diri, menadah tangan memohon kebaikan untuk diri, keluarga dan seluruh umat Islam.

“Ini kerana pada hari inilah, Allah SWT membebaskan begitu ramai manusia daripada azab api neraka dengan rahmat dan kasih sayang-Nya,” jelasnya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, Imam Muslim meriwayatkan dalam al-Sahih, menerusi sanadnya daripada Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada suatu hari pun yang lebih banyak Allah SWT membebaskan hamba-Nya daripada neraka melainkan pada Hari Arafah; dan Allah SWT mendekatkan (rahmat-Nya buat hamba) dan Dia berbangga dengan (jemaah haji yang berwukuf di Arafah) di hadapan para malaikat seraya berkata: “Apalah yang mereka semua mahu!” (Hadis Riwayat Muslim)

Poster menunjukkan perbezaan waktu Hari Arafah di Arab Saudi dan di Malaysia.

Jelas beliau, umat Islam perlu menyedari betapa besarnya rahmat dan pengampunan Allah pada hari tersebut sehingga Dia berbangga dengan hamba-Nya kepada para malaikat.

“Justeru, jangan pernah kita rasa berputus asa dengan rahmat Allah. Meskipun dosa-dosa kita sebanyak buih di lautan atau seluas langit dan bumi, jika kita bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberikan keampunan.

“Apatah lagi, berdoa dengan penuh keinsafan dan menghinakan diri di Hari Arafah, pasti Allah menerimanya kerana Dia Maha Mendengar segala permohonan makhluk-Nya,” tegas Dr. Muhammad Sufi lagi.

Menurut beliau, bagi mereka yang tidak menunaikan haji, antara amalan yang paling besar nilainya ialah berpuasa pada Hari Arafah.

Malah, Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya. (Hadis Riwayat Muslim)

Amalan membaca Al-Quran perlu dilakukan pada Hari Arafah untuk menggapai keredhaan Allah SWT.

Jelas Dr. Muhammad Sufi, amalan tersebut adalah peluang luar biasa yang mampu menghapuskan dua tahun dosa-dosa kecil, hanya dengan satu hari berpuasa.

“Subhanallah. Maha Baiknya Allah. Sungguh, ia adalah satu tawaran daripada Allah yang tidak patut dilepaskan.

“Maka, rebutlah ia dengan sebaik-baiknya agar kita menjadi golongan yang dikurniakan nikmat mendapat pembebasan dari api neraka pada Hari Arafah,” ungkapnya.

Dalam kesibukan dunia moden masa kini, Hari Arafah adalah satu detik untuk kita kembali memperbaharui taubat, memperkuat hubungan dengan Allah dan mendoakan segala kebaikan dunia dan akhirat.

“Umat Islam hari ini berdepan pelbagai cabaran duniawi dalam aspek materialisme, perpecahan dan kelalaian, namun Hari Arafah menjadi peluang penyatuan hati dan penguatan spiritual di kalangan umat Islam.

“Biarpun kita tidak berada di Padang Arafah, roh pengorbanan, pengabdian dan pengharapan tetap boleh dihidupkan dengan doa, zikrullah dan muhasabah diri di hadapan Allah.

“Gunakanlah kesempatan waktu yang berbaki ini dengan melakukan amal-amal kebaikan kerana siapa tahu mungkin inilah Hari Arafah terakhir buat kita,” pesan Dr. Muhammad Sufi penuh makna.

Salah satu zikir yang boleh diamalkan pada Hari Arafah.

Antara amalan yang boleh dilakukan pada Hari Arafah:

  •  Puasa sunat Hari Arafah
  •  Membaca Al-Quran
  •  Perbanyakkan sedekah
  •  Meluaskan rezeki kepada ahli keluarga
  •  Perbanyakkan zikir:

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

  • Perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah SWT
  • Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali
  • Perbanyakkan doa buat diri sendiri, ahli keluarga dan seluruh umat Islam

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button