Haram doakan orang kafir meninggal dunia – UAI
KUALA TERENGGANU – Umat Islam tidak dibenarkan mendoakan keampunan atau kesejahteraan kepada orang kafir yang telah meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman.
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum tersebut adalah haram meskipun si mati merupakan ahli keluarga terdekat.
“Yang dibolehkan hanya mendoakan orang kafir yang masih hidup supaya diberikan hidayah.
“Adapun jika dia meninggal dalam kekufuran, maka tidak dibenarkan sama sekali mendoakan keampunan atau kesejahteraan untuknya,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 113 yang menegaskan larangan tersebut, selain mengulas pandangan ulama terkenal seperti Imam Al-Maraghi dan Imam Nawawi.
Menurutnya, Imam Al-Maraghi menjelaskan bahawa adalah haram berdoa minta keampunan dan rahmat kepada orang yang mati dalam kekufuran, termasuk menyebut istilah seperti ‘yang diampunkan’ atau ‘yang dirahmati’ kepada mereka.
“Imam Nawawi pula menegaskan dalam kitab Al-Majmu’ bahawa sembahyang ke atas mayat orang kafir dan berdoa untuk keampunannya adalah haram berdasarkan nas al-Quran dan ijmak ulama,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau merumuskan bahawa mendoakan keampunan untuk orang kafir yang meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman adalah haram.
“Wallahua’lam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






