AGAMA

GISB: Karamah tidak boleh dijadikan ukuran jika tidak mematuhi syariat – NUIM

PUTRAJAYA – Umat Islam diseru untuk mengikuti aliran tasawwuf yang moderat dan muktabar serta diiktiraf oleh para ulama muktabar, agar tidak terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sahih seperti yang diamalkan pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuwan YADIM (NUIM), Dr Bashir Mohamed al-Azhari berkata, GISBH jelas telah mempengaruhi sekelompok masyarakat atas nama pendekatan tasawwuf, namun dengan amalan yang menyimpang daripada ajaran syariat yang benar.

“Pengaruh seperti ini amat berbahaya kerana ia mempergunakan istilah tasawwuf untuk menarik perhatian, namun hakikatnya ia membawa kepada penyimpangan akidah dan amalan yang tidak berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, tasawwuf yang moderat dan muktabar, iaitu tasawwuf yang berlandaskan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiyyah, menekankan penyucian jiwa melalui amalan seperti ikhlas, sabar, tawakkal, dan syukur, berteraskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Katanya, tasawwuf itu menggabungkan syariat dan hakikat, di mana setiap amalan tasawwuf perlu mematuhi syariat Islam.

“Penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs adalah salah satu aspek utama dalam tasawwuf yang muktabar. Pengamal tasawwuf mesti berusaha membuang sifat tercela seperti sombong, riak, dan hasad, dan menggantikannya dengan sifat terpuji seperti ikhlas, tawakkal, dan syukur kepada Allah SWT.

“Mujahadah (berjuang melawan hawa nafsu) adalah sebahagian daripada usaha ini, di mana seseorang pengamal tasawwuf mesti sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dan menjaga hubungan rohani dengan Allah SWT,” katanya.

Pada masa sama katanya, pengamal tasawwuf yang sahih mesti menjadikan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW sebagai asas segala amalan mereka seperti zikir, doa dan selawat menjadi penghubung antara manusia dengan Allah dan memperkuatkan cinta kepada-Nya.

Menyentuh mengenai karamah yang ada kepada pengamal tasawwuf, jelasnya, ia perlu berpandukan kepada syariat.

“Seperti yang dikatakan oleh Sheikh Abdul Qadir Isa dalam kitabnya, beliau menegaskan bahawa syariat adalah asas dalam tasawwuf. Pepatah berikut menjadi peringatan bagi semua: Jika kamu melihat seseorang terbang di udara atau berjalan di atas air tetapi tidak berpegang teguh kepada syariat, maka janganlah kamu mengikutinya.

“Ini bermakna bahawa sebarang karamah atau tanda luar biasa tidak boleh dijadikan ukuran kehebatan seseorang jika ia tidak mematuhi syariat. Syariat dan tasawwuf yang sahih sentiasa berjalan seiring, dan syariat adalah panduan utama bagi pengamal tasawwuf yang muktabar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, NUIM menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan-jabatan Mufti dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam memastikan bahawa amalan agama yang diamalkan adalah sahih dan selaras dengan ajaran Ahlus Sunah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiyyah.

“NUIM juga menyeru kepada semua umat Islam agar meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berautoriti agama dalam menangani isu-isu berkaitan agama, termasuk hal-hal berkaitan penyelewengan akidah dan amalan.

“Pihak berkuasa agama sentiasa bekerja untuk menjaga akidah umat Islam dan terbuka menerima
cadangan serta idea penambahbaikan daripada semua pihak yang berkenaan. Adalah penting untuk tidak cepat memperlekehkan agensi-agensi agama seperti JAKIM dan Jabatan-jabatan Mufti, kerana mereka menjalankan tugas dengan tanggungjawab besar dalam memelihara kemurnian Islam di negara kita,” ujarnya.

“Umat Islam dinasihatkan untuk terus merujuk kepada pihak-pihak ini dalam menghadapi sebarang kekeliruan atau isu berkaitan agama. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada fitnah akidah dan dianugerahkan kekuatan untuk menegakkan agama Islam yang sebenar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button