AGAMA

Gara-gara nikah sindiket: Pasangan suami isteri, wali, saksi didakwa atas 40 kesalahan – dedah seorang Peguam Syarie

BARU-BARU ini saya hadir ke salah sebuah Mahkamah Rendah Syariah di Lembah Klang bagi menghadiri perbicaraan kes yang saya wakili.

Sementara menunggu kes dipanggil saya mendengar 1 prosiding kes yang melibatkan 5 individu. Daripada fakta kes yang dibentangkan oleh Pendakwa Syarie, boleh saya simpulkan bahawa kelima-lima individu tersebut terlibat dalam sebuah pernikahan sindiket yang mana bersalahan dengan undang-undang.

Bagi saya, kes-kes seumpama ini biasa didengar di Mahkamah Rendah Syariah. Apa yang di luar kebiasaan adalah jumlah kes yang dipertuduhkan kepada individu-individu tersebut.

Memang sangat mengejutkan! Pada masa tersebut setiap tertuduh masing-masing telah didakwa sehingga 7 pertuduhan setiap seorang dan Pendakwa Syarie mengemukakan hasrat untuk menambah 1 lagi kesalahan bagi setiap orang menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan sebanyak 40 kes.

Daripada pemerhatian serta fakta kes yang dibentangkan, saya percaya tertuduh-tertuduh adalah pasangan suami isteri, wali iaitu bapa kandung pengantin perempuan, serta 2 orang saksi.

Mereka bukanlah di kalangan mereka yang kaya, kayangan ataupun T20. Boleh dikatakan juga mereka adalah di kalangan orang susah yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi.

Suami wanita tersebut merupakan seorang rakyat asing dan bekerja sebagai buruh binaan sahaja manakala pasangannya tidak bekerja disebabkan oleh masalah penglihatan (OKU).

Sebanyak 40 kes yang dipertuduhkan pula berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh kesalahan nikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, akad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan, subahat dan sebagainya.

Bagaimana kes itu boleh ‘beranak pinak’ adalah di luar pengetahuan saya memandangkan saya bukanlah Peguam Syarie yang mewakili tertuduh berkenaan dalam kes tersebut.

Saya tidak mengetahui apa kesudahan kes-kes tersebut. Apa yang penting daripada pengalaman saya mengendalikan kes-kes seumpama ini, proses pendaftaran pernikahan sama ada yang melibatkan sindiket, bernikah di luar negara serta berpoligami tanpa kebenaran semakin hari semakin ketat.

Mungkin disebabkan pertambahan jumlah pesalah serta ‘trend’ yang sukar dikawal.

Bagi perkahwinan di luar negara terutamanya di sempadan Thailand yang melibatkan poligami, sesetengah negeri mula menerima pakai Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mensyaratkan isteri pertama sebagai salah seorang pihak dalam kes.

Hal ini sudah pasti menimbulkan ‘kegusaran’ khasnya yang bernikah secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama. Walaupun pendekatan ini positif dengan melihat kepada hak serta kebajikan isteri pertama, namun ramai juga mengambil pendirian untuk tidak mendaftarkan langsung perkahwinan mereka yang mana menimbulkan banyak implikasi antaranya penentuan nasab semasa mendaftarkan anak, isu status penjagaan dan pewarisan.

Saya sendiri telah dihubungi oleh sekurang-kurangnya 4 orang individu yang pada mulanya menyatakan hasrat bagi mendaftarkan perkahwinan mereka, namun akhirnya menyepi dan menekan brek apabila mengetahui yang notis harus juga diberi kepada isteri pertama.

Saya teringat gurauan seorang rakan peguam, beliau berkata, dalam kes poligami ini ada 2 sahaja pilihan iaitu minta izin atau minta maaf.

Nasihat saya, pada yang baru berhasrat untuk bernikah sama ada kali pertama ataupun berpoligami, ikutilah undang-undang sedia ada. Bagi yang telah ‘terlanjur’, segeralah mendaftarkan pernikahan anda memandangkan ada kemungkinan prosesnya akan menjadi semakin rumit pada masa hadapan!

Artikel ini ditulis dan disumbangkan oleh seorang Peguam Syarie di sebuah firma guaman syariah

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button