
Firdaus Wong seru umat Islam bantu pembelian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan
KUALA LUMPUR – Aktivis dakwah, Firdaus Wong menyeru umat Islam membantu pembelian tanah sebuah masjid di Alor Pongsu, Perak yang berdepan ancaman dirobohkan apabila sebahagian tanah tapak masjid itu telah dijual.
Beliau berbuat demikian melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Firdaus, Masjid Jamek Ar-Ridzuan didirikan di atas tanah wakaf tetapi cucu pewakaf tersebut telah menjual bahagian tanah itu kepada seorang Cina.
Disebabkan itu, ia (tanah) didaftarkan hak milik kepada pembeli berkenaan dan dia menuntut tanah itu.
“Kalau tuntutan tidak dipenuhi, maknanya masjid itu kena roboh sebahagian daripadanya. Malulah umat Islam di Perak ini, malulah EXCO agama Islam di Perak ini.
“Kita sebagai umat Islam tidak mempolemikkan isu menjadi isu perkauman mahupun agama. Kita umat yang bermaruah. Kita tak ‘claim’ masjid dah beratus tahun untuk mencuri hak orang lain.
“Hak pemilik perlu dikembalikan dan keadilan adalah memberikan hak kepada yang berhak bukannya mengambil hak orang dengan ‘play victim’,” tulisnya.
Tambah Firdaus, beliau telah menghubungi Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan untuk mendapatkan nombor akaun bank mereka.
“Saya menyeru sahabat semua untuk melabur dalam saham akhirat kita sendiri dengan menyumbang kepada tabung Masjid Ar-Ridzuan,” rayunya.
Menerusi hantaran tersebut, beliau turut memuat naik tangkap layar artikel dari Kosmo! Online berhubung isu itu selain memberikan kod QR bagi pertubuhan Multiracial Reverted Muslim untuk orang ramai menyumbang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata positif.
“Alhamdulillah, kita tak ‘claim’ tanah sendiri sejak 1,500 tahun lalu. Insya-Allah, kita mampu beli dari pemilik. Ayuh sahabat, kumpul saham akhirat,” komen Iskandar Zulqarnain.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan, kerajaan negeri Perak akan menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai bernilai RM1.8 juta daripada pemiliknya yang berbangsa Cina.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |