
Firdaus Wong kongsi kisah pemuda India peluk Islam di gim
PENDAKWAH dan aktivis terkenal, Firdaus Wong menyentuh hati netizen apabila berkongsi kisah seorang pemuda berbangsa India memeluk Islam di sebuah gim di Melaka, hari ini.
Melalui satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook beliau, peristiwa itu menjadi bukti bahawa hidayah Allah boleh hadir di mana-mana sahaja, dalam suasana yang tidak disangka.
Menurut Firdaus, ketika sedang melakukan senaman di gimnasium, beliau disapa oleh seorang pemuda yang mengenalinya.
Pemuda itu memperkenalkan dirinya dan mengakui telah lama mengikuti video dakwah Firdaus di media sosial.
“Saya sudah mengkaji Islam selama beberapa bulan, dan saya dapati ajarannya sangat masuk akal, logik serta menepati konsep ketuhanan sebenar,” kata pemuda tersebut.
Salah satu perkara yang menarik hatinya adalah cara umat Islam menunaikan solat.
“One of the many things is the solat. You know when WE pray right, is so peaceful and manner to Allah. (Salah satu daripada banyak perkara ialah solat. Kamu tahu, apabila KITA solat, ia begitu menenangkan dan penuh adab kepada Allah),” tulis Firdaus memetik kata-kata pemuda tersebut.
Tambahnya, beliau segera menyedari penggunaan perkataan WE (kita) yang digunakan pemuda itu.
“Awak menganggap diri awak sebagai sebahagian daripada kami, seorang Muslim sekarang, betul?” soal Firdaus kembali.
Setelah berbual, pemuda itu mengakui bahawa walaupun belum melafazkan syahadah secara rasmi, dia tidak pernah lagi meninggalkan solat lima waktu.
Malah, selepas selesai bersenam, dia turut bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib.
Bahkan beliau juga menyatakan keyakinannya terhadap keesaan Allah serta kerasulan Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa AS.
Firdaus kemudian menawarkan bantuan untuk membimbing pemuda itu melafazkan syahadah dalam bahasa Arab secara sukarela.
Tanpa ragu-ragu, pemuda tersebut menyatakan kesediaannya.
Selepas melafazkan syahadah, Firdaus memberitahu akan membawa pemuda itu makan malam dan memperkenalkannya kepada rakan-rakan pendakwah di Melaka untuk membantu proses pembelajaran agamanya serta mendaftarkan keislamannya secara rasmi.
“Alhamdulillah, Allah menyelamatkan satu jiwa melalui hamba-Nya yang kerdil ini. Semoga Allah menjadikan kita semua asbab hidayah dan kebaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Firdaus turut menyeru umat Islam untuk terus menyokong usaha dakwah dan bimbingan mualaf melalui Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor (MRM).
Bagi mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5648 1052 0353.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi bagi kita semua untuk terus berdakwah dan mendekati masyarakat dengan hikmah, serta membuka pintu hati mereka terhadap Islam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |