
SEDAR tak sedar, umat Islam sudah hampir memasuki fasa terakhir pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
Justeru, Ramadan yang berbaki ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menjaga adab serta memperbanyakkan ibadah selain meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Penulis buku Sempurnakah Puasaku? terbitan Bonda Nor Sdn Bhd, Ustaz Abdul Muiez Ruslee berkata, Ramadan disebut sebagai bulan beribadah kerana banyak pahala yang ditawarkan buat kita.

“Antara hadiah terbesar yang Allah beri kepada kita sebagai umat Muhammad pada bulan Ramadan ialah malam al-Qadr.
“Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Qadr, ayat 3 yang bermaksud: ‘Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadar) lebih baik daripada seribu bulan.’
“Seribu bulan jika mahu dikira dalam bentuk tahun, bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Rata-rata umur umat akhir zaman ini tidak sampai ke usia tersebut.
“Bayangkan, betapa besarnya pahala jika kita dapat mengecapi Lailatul Qadar kurniaan Allah,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, disebabkan besarnya ganjaran tersebut, maka Allah merahsiakan kehadiran malam seribu bulan itu agar manusia berlumba-lumba untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin.
“Banyak amalan yang boleh kita lakukan dalam mengimarahkan hari-hari terakhir Ramadan ini termasuklah istiqamah menunaikan solat tarawih. Selain itu, perbanyakkan juga bersedekah.
“Saya teringat waktu belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir dahulu, ada banyak jamuan berbuka atau disebut Maidah Rahman. Sebagai pelajar, kami jadi seperti tetamu istimewa mereka.
“Kadang-kadang, kami siap boleh pilih mahu berbuka di mana. Kalau tempat itu menyediakan menu ayam atau daging, memang ramailah rakyat Malaysia di sana.

“Maidah Rahman ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ia adalah satu sunnah yang wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi,” jelas Ustaz Abdul Muiez.
Kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka ini sangat besar ganjarannya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun.”
Dalam hadis lain pula ada menyatakan:
“Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Tambah beliau lagi, satu perkara yang perlu diingati dan perlu diberi perhatian oleh umat Islam adalah jangan sesekali beribadah kerana bulan Ramadan.
“Kena ingat, jika kita beramal dengan sebanyak-banyaknya kerana Ramadan, pada satu masa, ia akan pergi meninggalkan kita.
“Tetapi beribadahlah semata-mata kerana Allah, Zat Yang Maha Kekal dan Maha Hidup selama-lamanya,” tegas beliau.
Malah, ujarnya para salafus soleh pernah menyebut: “Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan.”
Justeru, jagalah adab kita terhadap bulan yang penuh kemuliaan ini terutamanya ketika kita masih dalam keadaan berpuasa.

Dengan berkat ibadah puasa, semoga kita menjadi orang yang beriman dan bertakwa seperti janji Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
Menurut Abdul Muiez lagi, Ramadan yang bakal berlalu sebenarnya membawa pergi nikmat yang sangat berharga.
“Walaupun Hari Raya menjelang tiba dan kita seharusnya gembira, tapi fadilatnya tidak pernah sama.
“Semoga apabila kita keluar daripada ‘Madrasah Ramadan’ ini, momentum ibadah kita masih berterusan sehinggalah sampai masanya kelak kita dijemput pulang dan menghadap Tuhan dalam sebaik-baik keadaan,” ujarnya menutup bicara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |