Dulu selesa hidup solo, bekas jurutera akhirnya faham konsep jodoh
KUALA LUMPUR – “Tak kahwin pun tak apa!”
Itulah antara pemikiran yang pernah bersarang dalam hati seorang wanita, Faizah Ahmad, 43, yang mesra digelar Kak Mung sebelum Allah membuka matanya terhadap makna sebenar perkahwinan melalui bimbingan seorang asatizah.
Menerusi satu hantaran refleksi di Facebook, Faizah berkongsi perjalanan emosinya dalam memahami hikmah dan keindahan institusi perkahwinan.

Menurutnya pada suatu ketika, beliau pernah rasa cukup dan sudah selesa hidup solo. Namun, pandangan itu berubah setelah mengikuti perkongsian seorang pendakwah Nusantara yang terkenal, Ustaz Nuruddin Al-Indinussy.
“Apabila Allah telah membetulkan persepsi yang salah itu melalui Ustaz Nuruddin, barulah berbeza perspektif perkahwinan itu dalam sudut pemikiran Kak Mung,” tulisnya.
Jelas Faizah, beliau masih belum berkahwin sehingga kini bukanlah kerana menolak jodoh, trauma atau kecewa sebaliknya kerana sudah terbiasa berdikari. Sampai satu peringkat, beliau berasakan bahawa, tak kahwin pun apa kerana berasakan hidupnya baik-baik saja.
“Kalau ada jodoh, okey. Tak ada jodoh, pun okey.”
Namun, pemikiran beliau itu diperbetulkan oleh Ustaz Nuruddin.
“Itu ayat orang putus asa. Sepatutnya, semua orang mesti ada keinginan untuk berkahwin. Mesti terus berdoa agar dikurniakan jodoh kerana manfaat perkahwinan ini banyak!”
Kata-kata pendakwah tersebut menyedarkan beliau bahawa hidup berpasangan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak diri, tetapi peluang untuk melanjutkan sujud menerusi zuriat sendiri.
Memikirkan usianya yang semakin lanjut, Faizah turut memikirkan kemungkinan tidak sempat mendapat cahaya mata jika berkahwin lewat, namun bekas jurutera sebuah syarikat Jepun itu cepat menyedari bahawa hakikat rezeki termasuk soal zuriat adalah dalam kekuasaan Allah semata-mata.
“Saya pernah terfikir pada usia sebegini sudah tidak dapat melahirkan zuriat sendiri, tetapi ramai sahaja yang berkahwin dan terus sahaja dapat anak segera,” ujarnya.
Baru sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah umrah buat kali keempat, Faizah memberitahu kali ini dia mampu berdoa dengan kefahaman yang lebih baik tentang jodoh. Beliau akur pada nasihat asatizah tersebut agar tetap berdoa memohon jodoh yang baik daripada Allah.
“Jadi, ketika di depan Kaabah kali ini, saya benar-benar menangis dalam doa agar Allah mengurniakan jodoh yang mampu membimbing saya hingga ke syurga-Nya.”
Dalam pada itu, Faizah turut mengkritik ajaran songsang era moden termasuk ajaran New Age yang mengajak untuk ‘berkahwin dengan diri sendiri’.
Baginya, ajaran seperti itu sangat jauh menyimpang daripada prinsip Islam.
Beliau juga menyebut tentang buku tulisannya berjudul Solo yang bukan sekadar novel biasa tetapi mengandungi kisah-kisah penuh pengajaran tentang isu jodoh, perkahwinan dan ketundukan kepada takdir Ilahi.

“Di dalamnya ada ibrah dan ilmu yang boleh dipelajari dan dihadam. Selalulah berdoa agar dalam kita mencari ilmu untuk membaiki diri, menyembuhkan diri, minta Allah lorongkan tempat dan circle yang betul,” pesan Faizah penuh makna.
Di akhir coretannya, Faizah menitipkan doa agar semua wanita yang diuji dengan kehidupan sendiri diberi jalan keluar terbaik oleh Allah tanpa perlu menyimpang dari landasan Islam.
“Semoga kita sentiasa dalam jagaan Allah,” tulisnya penuh pengharapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
