AGAMARENCANA

Dakwaan Nabi Muhammad SAW amal nepotisme, kronisme satu fitnah jahat

NABI Muhammad SAW bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi Baginda SAW adalah insan teragung pilihan Allah SWT sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Keistimewaan Rasulullah SAW tidak hanya terletak pada akhlak dan keperibadian yang sempurna, tetapi juga pada risalah yang dibawa, mukjizat yang diberikan serta pengaruh yang terus hidup dalam hati umat Islam sehingga hari ini.

Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pemimpin yang adil dan membawa rahmat buat seluruh alam. – Gambar hiasan

Baginda SAW diutus sebagai penutup segala nabi, membawa syariat yang sempurna dan menyeluruh, menjadi contoh ikutan dalam segenap aspek kehidupan – dari ibadah, kepimpinan hingga kasih sayang terhadap umatnya.

Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” [Surah Al-Anbiya’, 21:107]

Keistimewaan Rasulullah SAW bukan sekadar pada kedudukannya sebagai kekasih Allah, tetapi juga pada sifat-sifat luar biasa yang menjadikan Baginda SAW sebagai pemimpin, pendidik dan pembimbing umat yang tiada tandingannya.

Meneladani Baginda SAW hakikatnya adalah kunci kepada kejayaan hidup kita di dunia dan akhirat.

Baru-baru ini, terdapat dakwaan daripada seorang individu berpengaruh bahawa Rasulullah SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme dalam pemerintahan Baginda SAW menerusi status yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Status yang dimuat naik seorang individu yang mendakwa Rasulullah SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme sangat tidak wajar dan fitnah yang sangat jahat.

Bahkan melalui tulisan-tulisan individu yang sama ‘didedahkan’ netizen, begitu jelas dia tidak mencerminkan rasa hormat terhadap Rasulullah SAW.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan fakta sejarah serta prinsip keadilan yang ditegakkan oleh Baginda SAW.

“Rasulullah SAW bukan sekadar pemimpin biasa, tetapi seorang utusan Allah SWT yang diutus membawa syariat yang adil dan menyeluruh.

“Salah satu ciri utama kepimpinan Rasulullah SAW ialah pemilihan pemimpin berdasarkan kelayakan dan kepercayaan, bukan atas dasar hubungan kekeluargaan.

“Dalam sirah, kita dapati bahawa Baginda SAW sering melantik individu yang layak, amanah dan bertanggungjawab tanpa mengira hubungan kekeluargaan,” tegas Dr. Muhammad Sufi ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Dr. Muhammad Sufi menegaskan Rasulullah SAW bukan sekadar pemimpin biasa, tetapi utusan Allah SWT yang membawa syariat yang adil dan menyeluruh buat seluruh umat Baginda.

Menurut beliau, sebagai contoh, Rasulullah SAW melantik Zaid bin Harithah, seorang bekas hamba yang dimerdekakan sebagai panglima perang dalam Perang Mu’tah.

“Sedangkan waktu itu, ramai sahabat lain yang lebih dekat dari sudut keturunan dengan Baginda SAW masih ada.

“Ini menunjukkan bahawa kepimpinan Rasulullah SAW dalam Islam adalah berdasarkan merit dan bukan hubungan darah semata-mata,” ujarnya.

Tambah beliau, Baginda SAW juga secara tegas menolak permintaan ahli keluarga yang tidak layak untuk mendapatkan keistimewaan.

“Antara contoh terbaik ialah ketika Sayyidah Fatimah RA meminta sebahagian harta rampasan perang, tetapi Baginda SAW menolaknya dengan penuh keadilan dan menjelaskan bahawa beliau tidak boleh memberikan keistimewaan kepada keluarganya,” jelas Dr. Muhammad Sufi lagi.

Ketika peperangan, Rasulullah SAW tetap memilih para sahabat yang layak memimpin untuk menjadi panglima perang, bukan berdasarkan hubungan kekeluargaan semata-mata. – Gambar hiasan

Malah, dalam satu hadis, Baginda SAW pernah bersabda: “Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku sendiri yang akan memotong tangannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Hadis ini jelas membuktikan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan kronisme atau memberikan layanan istimewa kepada ahli keluarga Baginda SAW dalam urusan pemerintahan,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Sufi memberitahu, Rasulullah SAW juga menolak permintaan ahli keluarga yang meminta jawatan.

Ini berlaku dalam satu peristiwa ketika Abu Dzar al-Ghifari meminta jawatan dalam pemerintahan, lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Pada Hari Kiamat, ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik-baiknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Bayangkan jika Abu Dzar, seorang sahabat yang mulia pun, tidak diberikan jawatan kerana ketidakmampuannya, maka mustahil Rasulullah SAW memberikan jawatan kepada ahli keluarga hanya kerana hubungan darah.

“Ini kerana hakikatnya dalam Islam, kepimpinan bukan diwarisi tetapi diberikan kepada mereka yang layak untuk memimpin,” tambah beliau lagi.

Baginda SAW juga seorang pemimpin yang adil dalam menjalankan tanggungjawab.

Selain itu, Rasulullah SAW juga dengan jelas menolak amalan pewarisan kuasa melalui hadis berikut:

“Jika urusan pemerintahan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Harus diingat bahawa Rasulullah SAW tidak pernah sesekali mewasiatkan mana-mana ahli keluarganya sebagai pengganti selepas kewafatan Baginda SAW, sebaliknya pemilihan khalifah dibuat melalui musyawarah di kalangan para sahabat RA.

“Jika benar Baginda SAW mengamalkan nepotisme, sudah tentu Baginda SAW akan melantik seorang ahli keluarganya sebagai pewaris kepimpinan.

“Justeru, dakwaan bahawa Rasulullah SAW mengamalkan nepotisme dan kronisme adalah tidak berasas serta bertentangan dengan rekod sejarah selain merupakan fitnah yang sangat jahat.

“Baginda SAW menegakkan keadilan, memastikan jawatan diberikan kepada mereka yang layak dan tidak pernah memberikan keistimewaan kepada ahli keluarga dalam pemerintahan,” tegasnya.

Umat Islam perlu mempelajari dan memahami sirah Rasulullah SAW sebelum menuduh Baginda dengan pelbagai tuduhan yang tidak selayaknya.

Nasihat Dr. Muhammad Sufi, sebagai umat Islam, kita perlu memahami sirah Rasulullah SAW dengan ilmu dan fakta yang benar serta menolak sebarang tohmahan yang cuba merosakkan imej Baginda SAW.

“Rasulullah SAW adalah contoh kepimpinan paling adil dan amanah yang wajib dijadikan pedoman sepanjang zaman.

“Buat mereka yang mahu mencari populariti segera hingga merosakkan imej insan teragung seluruh alam, maka bertaubatlah.

“Moga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita dan menyelamatkan kita daripada pelbagai fitnah akhir zaman yang mampu menggoncang iman,” ujarnya menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button